KANGAR – Gangguan Personaliti Narsisistik (NPD) bukan sahaja penyakit yang datang tanpa disedari, malah ia boleh merosakkan hubungan suami isteri kerana penghidapnya terlalu angkuh dan taksub dengan diri sendiri.
Penghidap NPD yang digelar narsis tidak mempunyai perasaan simpati atau empati terhadap orang lain dan keluarga selain cenderung memperlekehkan orang lain bagi menampakkan dirinya hebat.
Pengarah Urusan dan Pakar Psikologi CPC International, Dr. Noor Aishah Rosli berkata, individu yang mengalami NPD sering mendambakan pujian berlebihan daripada orang ramai kerana berasakan diri terlalu bagus.
“Mereka mahu menonjolkan diri sebagai idola yang terbaik kepada orang lain. Karakter itu berbeza dengan sikap yakin kerana ia lebih kepada taksub pada diri sendiri.
“Selain itu, mereka juga tiada perasaan simpati dan empati terhadap orang lain yang mana mereka juga cenderung memperlekehkan orang lain bagi menampakkan diri lebih hebat sehingga menjejaskan emosi orang sekeliling,” katanya baru-baru ini.

Menurut Noor Aishah, narsis mahu dilayan secara istimewa dan gemar mengambil kesempatan atau eksploitasi ke atas orang lain untuk kepentingan diri.
Tambahnya, penyakit itu bertambah buruk apabila melibatkan rutin harian terutama dalam hubungan suami isteri, anak-anak dan rakan sekerja terganggu.
“Ramai dalam kalangan masyarakat tidak menyedari mereka sebenarnya narsis walaupun sering angkuh, tidak mengaku salah dan gemar menyalahkan orang lain,” katanya.
Ujar Noor Aishah, orang sekeliling seperti pasangan perlu bertindak dengan membawa pesakit mendapatkan rawatan dengan pakar psikologi.
“Walaupun sukar, individu narsis perlu mendapatkan rawatan daripada pakar bagi mengubah cara pemikiran mereka kepada lebih rasional.
“Hanya pakar yang boleh menentukan sama ada seseorang itu penghidap NPD melalui diagnosis tertentu. Ia boleh sembuh melalui rawatan yang konsisten,” katanya.
Dalam pada itu, Noor Aishah memberitahu, dia pernah merawat seorang wanita yang mempunyai NPD hingga mengakibatkan kehidupan suaminya tertekan.
“Isterinya sering menyalahkan lelaki berusia dalam lingkungan 40-an itu dalam semua perkara. Wanita itu juga enggan menerima apa jua pendapat suaminya.
“Walaupun dia belum didiagnos sebagai NPD, dia sering play victim dengan meluahkan emosinya berkaitan hubungan suami isteri di Facebook,” katanya.
Bagaimanapun, pasangan itu masih bertahan dan kini perkahwinan mereka sudah mencecah usia 16 tahun.














