fbpx
Gerai jelly ball atau bebola jeli tular dikerumuni kanak-kanak dan orang dewasa.

Sate bebola berwarna-warni ‘digilai’ tua, muda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

VARIASI warna dan bentuk yang mirip sate bebola, membuatkan kudapan atau manisan yang lebih dikenali sebagai ‘jelly ball’ (bebola jeli) semakin diminati masyarakat, bahkan membuat orang rela berbaris panjang untuk mendapatkannya.

Video-video di gerai bebola jeli berwarna-warni itu dikerumuni puluhan orang tidak mengira usia menunjukkan ia semacam satu ‘kegilaan’ tua muda. Setiap gigitan bebola berwarna tersebut mengandungi perisa buah-buahan berbeza.

Merah misalnya mewakili perisa strawberi, ungu (anggur), kuning (mangga), hijau (tembikai susu) dan lain-lain warna lagi.

Menurut salah seorang pelanggan setia bebola jeli, Amie Zain, 45, dia mula mengetahui tentang manisan itu melalui aplikasi TikTok.

“Pada mulanya, saya membeli beberapa cucuk jelly ball untuk anak saya kerana rupanya yang kelihatan sangat menarik dan menjadi viral. Saya juga tertarik untuk mencuba dan rasanya memang sedap, hampir seperti makan buah.

“Saya perhatikan ramai juga orang dewasa beratur untuk membelinya, jadi minat terhadap manisan ini tidak terhad kepada kanak-kanak,” katanya kepada Panorama.

Amie juga tidak menghalang anak-anaknya sering membeli kerana ia turut menggalakkan pemakanan buah-buahan.

Sementara itu, banyak pihak lain didapati menjalankan perniagaan ini di merata tempat.

Sungai Buloh, Selangor misalnya menjadi lokasi pilihan perniagaan bebola jeli oleh seorang suri rumah Siti Nurfatihah Said, 29.

Bebola jeli Fatihah laris dikerumuni pelajar sekolah di Sungai Buloh.

Setelah hampir tiga tahun menjadi suri rumah, keputusan Fatihah untuk kembeli bekerja adalah bagi membantu meringankan beban suami.

Perniagaan yang bermula pada Oktober tahun lalu memikat perhatian pelanggan terutama kanak-kanak dan pelajar sekolah di kawasan tersebut.

“Saya memulakan perniagaan ini dengan permulaan modal sebanyak RM200 dan bebola jeli yang saya hasilkan bertekstur kenyal.

“Saya memilih untuk berniaga menggunakan kereta kerana lebih mudah dan tidak perlu menyukarkan saya membeli meja dan kelengkapan lain,” katanya.

Menurutnya, setiap warna bebola jeli mempunyai perisa yang berbeza mengikut buah-buahan.

Keistimewaan bola jeli ini adalah kerana tidak menggunakan penambahan bahan misalnya susu seperti versi dari Indonesia.

Idea untuk menjual bebola jeli muncul selepas Fatihah menyedari keunikannya dan tidak ramai penjual di sekitar kawasan tersebut.

“Saya mendapat inspirasi dari TikTok dan saya lihat ramai kanak-kanak yang beratur panjang untuk membeli, mendorong saya untuk mencuba nasib dalam perniagaan ini.

“Pembuatan bebola jeli melibatkan bahan-bahan seperti serbuk jeli atau agar-agar, konjac, gula, kordial berperisa, air dan serbuk pewarna buah-buahan. Kesabaran yang tinggi juga diperlukan dalam proses pembuatan ini,” kongsinya.

Warna-warna bebola jeli melambangkan perisa buah-buahan berbeza misalnya hijau (tembikai susu), biru (blueberry), ungu (anggur), kuning (mangga), jingga (oren) dan merah (strawberi).

Dihidangkan bebola-bebola berwarna-warni di dalam acuan, kebiasaannya ia dicucuk pada lidi semasa dibeli pelanggan.

“Dalam sehari, saya mampu menjual kira-kira 250 cucuk bebola jeli. Namun, jika permintaan tinggi, jumlah tersebut boleh meningkat hingga 400 hingga 500 cucuk sehari. Harga satu cucuk bebola jeli ditetapkan pada RM2, berpatutan untuk pasaran pelajar sekolah di kawasan Sungai Buloh,” katanya.

Pilihan lokasi berjualannya di sekolah berhampiran membawa keuntungan besar kepada Fatihah.

“Saya berniaga bermula dari pukul 2.30 petang sehingga bebola jeli habis, kalau berniaga di sekolah pula sekitar 12.30 tengah hari,” jelasnya.

Fatihah juga berharap untuk mengekalkan kualiti bebola jeli dengan tidak menjualnya dalam jumlah yang berlebihan, terutama semasa cuaca hujan.

“Bebola jeli memikat perhatian kanak-kanak dengan warna merah, hijau, biru, oren dan ungu. Perisa buah dan warna yang seiring ini menjadikan pengalaman makan lebih menarik,” jelasnya.

Meskipun kini Fatihah hanya menjual bebola jeli biasa, dia merancang untuk mengekalkan harga RM2 dan mungkin akan menambah lagi variasi perisa seperti coklat atau susu.

Dia juga mempertimbangkan untuk mengikuti trend terkini di TikTok untuk menyesuaikan produknya dengan cita rasa pelanggan.

“Dengan perniagaan bebola jeli yang semakin berkembang, saya berharap dapat terus menyediakan produk berkualiti tinggi dan mengekalkan populariti dalam kalangan pelanggan setia,” katanya.

Sementara itu, pasangan Norsyafika Nanaf@Manaf dan suaminya, Mohammad Hanis Haswan Azlan turut membawa gelombang kejayaan dengan perniagaan bebola jeli di Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Memulakan perniagaan pada 25 Ogos lalu, mereka membuka gerai di Taman Tasik Titiwangsa pada 12 September lalu dan sehingga kini mendapat respons yang baik daripada pembeli.

Syafika dikatakan peniaga pertama yang mengusahakan bebola jeli di gerai di Titiwangsa, Kuala Lumpur dan kini bebola jeli Titiwangsa paling popular.

Dikatakan antara peniaga terawal yang mengusahakan gerai bebola jeli di negara ini, Syafika berkata, asal usul makanan itu bagaimanapun tidak dapat dipastikan.
Ia dipercayai berasal dari Indonesia.

Di Titiwangsa, pada mulanya hanya pasangan itu yang berniaga bebola jeli dan kini semakin ramai mengikut jejak langkahnya mencari rezeki melalui bisnes bebola jeli apabila kira-kira lima peniaga bebola jeli ada di situ.

“Awalnya, kami merupakan satu-satunya peniaga yang menjualnya, tetapi kini telah menular ke seluruh negara. Pelanggan boleh memilih dari pelbagai perisa seperti strawberi, oren, mangga, tembikai susu, blueberry, anggur dan laici.

Tampil dengan bebola jeli tujuh warna seumpama pelangi populariti bebola jelinya yang dinamakan Rainbow Jelly Ball cukup hebat.

Perniagaan mereka berkembang pesat dengan barisan pelanggan beratur sehingga mencapai lebih 50 orang setiap hari.

“Waktu perniagaan kami pada hari bekerja dari 8.30 malam dan pada hari minggu dari 5 petang hingga habis stok jeli,” jelasnya.

Bercerita mengenai pembuatannya, Syafika berkata, lazimnya, proses pembuatan jeli ini dilakukan pada waktu malam sebelum diletakkan ke dalam acuan berbentuk bola dan kemudian dibekukan dalam peti sejuk.
Kualiti adalah keutamaan bagi Syafika.

Setiap jeli dijaga suhu sejuk dengan menggunakan pek ais.

Meskipun pelanggan boleh memilih pelbagai perisa, mereka tetap mengekalkan keseragaman kualiti dan bentuk bulat yang menarik.

“Viral atau tidak, saya bersyukur dengan rezeki yang diberikan oleh Allah.

“Saya akan tetap setia dengan perniagaan ini dan akan terus mencari cara untuk menarik pelanggan dengan produk baharu yang berkaitan jeli,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN