DUNGUN – Seorang lelaki warga emas sedih apabila rumah yang didiaminya sejak 42 tahun lalu runtuh dihanyutkan arus deras dalam kejadian banjir besar melanda Kampung Shukor, Hulu Dungun pada Khamis lalu.
Sewaktu kejadian pada pukul 4 petang itu, Tengku Alwi Tengku Ahmad, 64, sedang sibuk menyelamatkan ayam-ayam peliharaannya daripada dihanyutkan banjir di depan rumah.
“Saya cuma 50 meter di hadapan rumah semasa menyaksikan depan mata, kediaman yang dibina titik peluh sendiri itu ranap dihanyutkan arus deras.
“Mula-mula terdengar bunyi dentuman sebelum rumah saya teralih dari tapak asal lalu satu persatu dinding rumah rebah dihanyutkan banjir,” katanya ketika ditemui di Kampung Shukor di sini semalam.
Tengku Alwi berkata, dia sekadar mampu menangis kesedihan apabila rumahnya kini hanya tinggal tangga dan tiang batu sahaja.
Datuk kepada tujuh cucu itu juga buntu kerana dia yang cuma bekerja kampung sudah pasti tidak mampu membina semula rumah baharu.
Sementara itu, banjir yang terburuk dalam tempoh 50 tahun melanda Kampung Shukor itu turut meranapkan rumah anaknya, Tengku Mohd. Zulkurnain Tengku Man, 58, yang sedang dalam pembinaan.
Tengku Mohd. Zulkurnain berkata, rumah anaknya itu sudah siap hampir 70 peratus.
“Bukan rumah anak sahaja malah anjung rumah saya berhampiran turut roboh dihanyutkan arus deras banjir.
“Perkampungan kami memang kerap dilanda banjir pada musim tengkujuh, namun ini paling teruk umpama tsunami kecil,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Tengku Kamsiah Tengku Muda, 54, pula berkata, buat pertama kalinya rumah setinggi dua tingkatnya ditenggelami banjir sehingga ke paras bumbung.
“Sepanjang 50 tahun menetap di Kampung Shukor, kami sekeluarga tidak pernah perlu berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) walaupun sewaktu banjir besar tahun 2014.
“Kali ini rumah kami yang berada di kawasan tinggi ini pun tenggelam sampai paras bumbung,” katanya.
Tengku Kamsiah berkata, dia sekeluarga terpaksa keluar rumah sehelai sepinggang untuk menyelamatkan diri.
“Saya masih trauma menyaksikan arus deras banjir yang menghentam perkampungan kami pada Khamis lalu.
“Setiap tahun beberapa kali kena lalui dugaan ini,” jelasnya.














