Gambar hiasan

Sampai bila mat rempit mahu jadi ‘superman’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BERCAKAP soal mat rempit, pasti aktiviti lumba haram dan menunggang motosikal dalam keadaan bahaya amat berkait rapat dengan golongan muda atau remaja.

Aktiviti sosial yang biasanya membawa kepada musibah hingga meragut nyawa bukan sesuatu perkara baharu di negara ini, sebaliknya ia sudah menjadi barah.

Bagi aktivis keselamatan jalan raya, Shahrim Tamrin berkata, gejala lumba haram sehingga ke hari ini masih belum menemui jalan penyelesaian komprehensif walaupun negara sudah menginjak ke tahun 2024.

Katanya, masalah rempit di negara ini sudah berada di tahap kritikal.

“Sebenarnya kalau kita lihat undang-undang, kita memang ada peraturan dan akta tertentu, tetapi ada kelompongan.

“Kebanyakan mat rempit tahu apabila mereka ditahan dan motosikal disita, tindakan itu hanya untuk satu malam dan akan selesai selepas itu.

“Masuk mahkamah, kena kompaun. Selepas itu apa? Adakah mereka menjalani hukuman penjara atau khidmat masyarakat atau komuniti? Tidak,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Tambah Shahrim yang juga bekas ahli lembaga pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), undang-undang berkaitan jalan raya yang ada ketika ini bukan tidak mencukupi atau tegas, tetapi terdapat kelompongan dari aspek sokongan pihak atasan.

“Saya juga mendapat maklumat daripada pengurusan tertinggi pihak berkuasa yang mengakui mereka tidak mendapat sokongan dalam membanteras isu lumba haram dan mat rempit ini.

“Ada orang-orang politik yang berada di atas meminta supaya pihak berkuasa agar tidak terlalu berkeras terhadap mat rempit,” katanya.

Jelas Shahrim, ini yang membuatkan golongan mat rempit semakin berleluasa dan ‘naik tocang’ selain lebih banyak aksi baring, superman dan bermacam-macam gaya ditunjukkan di atas jalan.

Seperkara lagi, tambahnya negara kini begitu berlembut dan sering memberikan carnival of discount sepanjang tahun kepada pesalah-pesalah yang dikenakan kompauan dan ia memperlihatkan seperti tiada pengakhiran.

Mengikut laporan Polis Diraja Malaysia (PDRM), mana-mana mat motor yang melakukan aksi ‘superman’ boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu secara melulu dan membahayakan.

Jika didapati bersalah, mereka boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun dan dikenakan denda minimum RM5,000 dan tidak melebihi RM15,000.

Seseorang yang disabitkan di bawah seksyen ini juga hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu selama lima tahun dari tarikh sabitan.

Bagaimanapun, berapa orang pesalah sahaja yang dikenakan tindakan?

Ironinya, apa lagi tindakan yang boleh diambil bagi menangani gejala ini yang sudah berlaku terlalu lama.

Adakah semua mekansime yang ada dan dikuatkuasakan ini seakan-akan gagal dan menemui jalan buntu apabila golongan mat rempit semakin berleluasa dengan melepaskan gian beraksi di jalan raya setiap malam pada hujung minggu? Tepuk dada tanyalah hati.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN