TIDAK guna menuding jari kepada mana-mana pihak berikutan kegagalan skuad lelaki negara menamatkan kemarau 24 tahun beraksi di Sukan Olimpik selepas Speedy Tigers mengakhiri kempen kelayakan 2024 di Oman pada kedudukan tercorot dalam aksi peringkat kumpulan.
Biarpun pahit untuk ditelan, Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) harus memikirkan sesuatu bermula sekarang kerana skuad negara akan menghadapi satu lagi kitaran kelayakan terutama Sukan Olimpik 2028 dan Olimpik 2032.
Jika dahulu, MHC mewujudkan Jawatankuasa Penilaian Semula untuk mengenal pasti sebab kegagalan ke Tokyo, kini mereka perlu memikirkan cara untuk memastikan skuad dapat menembusi ke Los Angeles.
Legenda hoki negara, Nor Saiful Zaini Nasiruddin berkata, MHC perlu bertindak segera terutama memperkasa program pembangunan peringkat akar umbi agar Malaysia mempunyai pemain yang berkualiti setanding pemain negara lain.
Katanya, pemain sedia ada belum capai tahap standard melayakkan diri ke acara itu.
“Untuk pergi ke pentas Olimpik, langkah pertama adalah memiliki pasukan yang sama kuat dengan pasukan di Eropah terutama yang layak ke temasya terbesar dunia tersebut.
“Untuk itu, kita perlu memperkasa program akar umbi. Kita lahirkan ramai pemain terbaik, tetapi masih belum mencapai tahap seperti pemain yang layak berada di Olimpik.
“Kita hanya boleh lahirkan pemain terbaik untuk tahap Sukan Asia, Sukan SEA dan kejohanan dalam negara. Untuk Olimpik, pemain perlu capai standard Eropah,” katanya.
Oleh itu, program pembangunan perlu diperkasa agar Malaysiaa memiliki pemain terbaik di peringkat remaja setanding pemain remaja di Eropah.
“Kita boleh lihat Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki baru-baru ini, di mana kedudukan pemain negara. Mereka gagal lakukan terbaik. ini antara perkara perlu ditekankan kerana pemain ini besar kemungkinan akan beraksi bersama pasukan senior.
“Jika pemain remaja masih bergelut menandingi pasukan terbaik di Piala Dunia Remaja bagaimana Malaysia hendak melahirkan pemain yang capai standard Sukan Olimpik?
“Ini antara yang MHC perlu tekankan selain fikir cara terbaik seperti hantar pasukan sertai siri jelajah lebih kerap di Eropah, beraksi di Liga Pro-Persekutuan Hoki Antarabangsa yang menghimpunkan pasukan terbaik dunia,” katanya.
Nor Saiful turut berharap persatuan negeri dan kelab turut memainkan peranan terutama mencari permata baharu agar Malaysia mempunyai pilihan memilih pemain terbaik.
“Sepatutnya, kelab-kelab mahupun persatuan negeri turut memainkan peranan yang penting terutama membantu membuat program pembangunan dan mencari permata baharu.
“Ketika ini, pasukan Eropah memiliki pemain yang tersusun peringkat bawah 12 tahun hingga remaja. Ketika perlawanan Holland dan Belgium, mereka turut mengetengahkan pemain baharu. Jadi MHC perlulah lakukan sesuatu,” ujarnya.
Skuad hoki negara gagal ke Olimpik Paris 2024 selepas menamatkan saingan peringkat Kumpulan A pada kedudukan tercorot dengan satu mata.
Bagaimanapun, Speedy Tigers menamatkan kempen kelayakan Olimpik di Oman di tempat kelima selepas mengatasi Kanada menerusi penentuan penalti selepas terikat tanpa jaringan pada perlawanan klasifikasi tempat kelima-keenam.














