fbpx
TERDAPAT warga asing bertindak berani dengan menjual di kawasan Pasar Malam Paya Serdang, Lunas, Kulim baru-baru ini sehingga didakwa menutup periuk nasi penjual tempatan.

Warga asing makin berani, ‘tawan’ pasar malam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KULIM – Kalangan penduduk di beberapa kawasan di daerah ini mula tidak senang duduk apabila terdapat penempatan yang mula ‘dikuasai’ warga asing sehinggakan ada yang berani berniaga di pasar malam sejak dua tahun lalu.

Antara lokasi yang dibanjiri warga asing adalah sekitar Lunas dan Kulim kerana terletak berhampiran kawasan perindustrian Kulim Hi-Tech Park dan kawasan perindustrian Kelang Lama, di sini.

Seorang penduduk, Musa Abdillah, 62, berkata, lambakan ­golongan terbabit menyebabkan ada dalam kalangan mereka mengambil kesempatan berniaga di kawasan asrama warga asing seperti di Pasar Malam Paya Serdang dan kawasan kedai sekitar Paya Besar.

Katanya, ada warga asing ini yang menjalankan perniagaan makanan dan bahan mentah sehingga menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan peniaga tempatan.

“Sepatutnya warga asing ini bekerja dalam sektor buruh dan operator kilang sahaja dan tidak perlu terlibat dalam perniagaan yang menjadi sumber pendapatan peniaga tempatan,” katanya ketika ditemui di Paya Serdang, di sini semalam.

Seorang peniaga, Mohd. Zaki Mohamad, 43, berkata, Pasar Malam Paya Serdang kini lebih dikenali sebagai ‘Mini Dhaka’ berikutan ramai warga penda­tang dari Bangladesh.

Katanya, kawasan tersebut dahulunya merupakan rumah kedai terbiar, namun ia menjadi tumpuan warga asing selepas dijadikan asrama pekerja asing ­termasuk dari Myanmar dan Nepal.

Jelasnya, disebabkan ramai warga ­asing, mereka juga mengambil ke­sempatan untuk menjalankan perniagaan barangan keperluan asas seperti makanan mentah dan sayur-sa­yuran serta pakaian terpakai.

“Kedudukan asrama mereka jauh dari kedai dan pasar raya, maka kami mengambil kesempatan menjual barangan keperluan untuk memudahkan warga asing terbabit.

“Namun, lain pula yang terjadi apabila terdapat kira-kira lima hingga lapan peniaga asing di kawasan itu dan jumlah mereka tidak menentu, malah ada yang datang dari luar daerah ini.

“Kami tidak kisah kalau mereka berniaga makanan tradisi mereka tetapi jangan sampai menjalankan perniagaan bara­ngan keperluan dapur sehingga menimbulkan perasaan kurang senang dalam kalangan peniaga tempatan,” jelasnya.

TERDAPAT warga asing bertindak berani dengan menjual di kawasan Pasar Malam Paya Serdang, Lunas, Kulim baru-baru ini sehingga didakwa menutup periuk nasi penjual tempatan.

Seorang lagi peniaga, Razuan Johari, 49, berkata, pada ming­gu lalu terdapat ramai peniaga warga asing yang berniaga di situ, namun minggu ini tiada seorang pun yang datang berniaga di sini.

“Mungkin selepas pendedahan kehadiran peniaga asing itu di media sosial oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas, Khairul Anuar Ramli minggu lalu, minggu ini mereka tidak berani datang berniaga,” katanya.

Sementara itu, Khairul Anuar berkata, dia mengadakan tinjauan beberapa kali di kawasan taman sekitar Lunas yang menjadi tumpuan warga asing.

Katanya, dia bersama pasukan Pusat khidmat Dun Lunas telah menjalankan pemantauan di kawasan Pasar Malam Paya Serdang sebanyak dua kali.

“Hasil tinjauan saya mendapati ada tindakan yang telah diambil oleh penguat kuasa yang mana apa yang saya lihat tidak ramai peniaga warga asing di pasar malam itu kali ini berban­ding ­minggu lalu.

“Ia satu usaha yang baik dan bukan di kawasan ini sahaja, ia wajar diteruskan di kawasan lain di bawah pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.

Tambahnya, PBT perlu mengambil tindakan untuk membendung mana-mana warga asing daripada berniaga atau cuba untuk menceburi sektor ekonomi tempatan.

“Sepatutnya rakyat tempatan diberikan peluang untuk mening­katkan taraf ekonomi mereka, bukan sebaliknya,” tegasnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN