ALOR SETAR – Kira-kira 30 peniaga Medan Selera Pasar Besar Alor Setar, di sini resah apabila mendakwa harga sewa tapak niaga di situ akan dinaikkan daripada RM90 kepada RM550 sebulan bermula bulan depan.
Menurut peniaga minuman, Mohd. Firdaus Shahi Zabiad, 35, rata-rata peniaga tidak mampu untuk membayar sewa tapak setinggi itu memandangkan pendapatan mereka tidak menentu.
“Kami difahamkan medan selera Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) yang baru siap dinaik taraf ini akan diswastakan iaitu diserahkan kepada pihak lain untuk mengurus.
“Susulan itu, kadar sewa tapak yang kami bayar RM90 sebelum ini dikatakan akan naik mendadak iaitu kepada RM550 sebulan. Malah, kami juga perlu membayar deposit RM2,000 untuk masuk semula berniaga di situ,” katanya di sini semalam.
Katanya, peniaga dimaklumkan tentang kadar sewa baharu dan deposit tersebut oleh seorang individu mendakwa daripada syarikat yang bakal menguruskan medan selera berkenaan.
“Ada peniaga yang sudah berniaga lebih 20 tahun lalu dan kebanyakan kami jual minuman, nasi berlauk, nasi lemak, roti jala dan kuih-muih dari pukul 5 pagi hingga 12 tengah hari sahaja.
“Pelanggan ramai pada hujung minggu sahaja kerana mereka ke Pasar Besar Alor Setar bersebelahan, manakala pada hari biasa memang kurang orang,” ujarnya.
Justeru, mereka meminta pihak MBAS menjelaskan situasi sebenar termasuk berkaitan kadar sewa terbaharu itu.
Peniaga nasi berlauk, Rohmah Hashim, 65, berkata, dia tidak senang duduk selepas diberitahu harga sewa tapak naik berkali ganda.
“Pada hujung minggu pun, purata untung tidak banyak sekitar RM40 ke RM50 sehari,” jelasnya.
Sementara itu, Yang Dipertua Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Melayu Malaysia Kedah, Baharudin Mohamed Ali berkata, beliau bersama peniaga terlibat telah ke MBAS pagi semalam bagi menghantar surat selain sedang menunggu maklum balas MBAS.














