JEMPOL – Sejak mengubah suai rumah pada tahun 2006, kehidupan sepasang suami isteri di Felda Palong 8, di sini, menjadi tidak keruan apabila kerap diganggu dengan pelbagai perkara mistik seperti terhidu bau kemenyan dan kapur barus.
Lebih menakutkan apabila anak ketiga pasangan itu, Shuhaida Razak, 39, kini sakit mental selepas didakwa telah didampingi makhluk halus bernama ‘Sabariah’, malah sudah tiga kali wanita bujang itu hilang rumah dipercayai dibawa makhluk terbabit.
Razak Ahmad, 65, berkata, dia dan isterinya, Mariam Hashim, 59, sudah tiga kali berhadapan kejadian mencemaskan apabila Shuhaida atau mesra dipanggil Aida hilang dari rumah dan pernah ditemui semula di Paloh Hinai, Pekan, Pahang.
“Masa mula-mula mahu bina rumah itu, anak ada minta saya menghalau sebuah keluarga (makhluk halus) yang tinggal di situ. Aida suruh saya baca ayat kursi, dia nampak ada keluarga di situ, namun masa itu saya tidak yakin dan teruskan membina rumah.
“Kemudian sakit mentalnya bertambah teruk dengan kali pertama dia hilang dari rumah dan ditemui semula di Paloh Hinai pada 2006 oleh orang awam sebelum ditempatkan di wad mental di hospital di sana,” katanya ketika ditemui di Felda Palong 8, di sini, semalam.
Razak berkata, kali kedua anaknya hilang pada 2010 dan gerakan mencarinya turut membabitkan anggota polis serta anjing pengesan dan mereka terkejut apabila anaknya itu ditemui di kawasan berpaya tidak jauh dari belakang rumah.
“Kami dan penduduk cari tak jumpa, tetapi apabila anjing pengesan cari, anak kami ditemui dalam kawasan paya.
“Kali ketiga pada Sabtu lalu, apabila isteri sedar anak hilang sejak pukul 10.30 malam dan dijumpai semula oleh penduduk di sebuah rumah yang masih dalam pembinaan di Felda ini,” jelasnya.

Menurutnya, Aida dipercayai keluar dari rumah mengikut laluan kawasan berpaya dan dilihat di kawasan kubur sebelum ditemui pada waktu tengah hari.
“Entahlah, antara percaya atau tidak, kira-kira tiga minggu lalu saya berbual dengan anak dan merakam kisahnya dengan pendamping bernama Sabariah.
“Anak kata dia pernah dilawati Sabariah semasa dia masih sekolah lagi. Masa itu Sabariah lawa memakai pakaian pengantin bersaiz lebih besar daripada manusia.
“Jika tidak berbaju pengantin, Sabariah yang menyukai budak-budak hanya setinggi lima inci dan gemar bermain susun batu atas simen rumah,” ujarnya.
Dia memberitahu, berdasarkan cerita anaknya lagi, sebelum ini Sabariah sekeluarga tinggal di rumahnya, namun selepas kediamannya diubah suai, makhluk halus itu telah berpindah jauh.

Katanya, bagaimanapun, cuma Sabariah yang kerap datang menjenguk ‘rumah lamanya’.
“Dia kata, Sabariah tak banyak cakap dan gemar tidur di dalam laci almari kalau penat. Kami buang almari tu, habis cucu saya menangis diganggu selepas almari itu dibuang.
“Pernah juga kembar Aida pulang ke rumah dan tiba-tiba terbau kapur barus di sebelahnya semasa hendak tidur serta terus mengetuk pintu bilik saya kerana takut,” ujarnya.
Menurutnya, sejak anaknya itu sakit, dia tidak pernah keluar dari rumah dan tidak ramai penduduk yang mengenalinya.
“Pernah juga saya tanya kepada beberapa pengamal perubatan untuk buka hijab saya supaya saya boleh lihat pedamping anak saya ini, namun mereka nasihatkan untuk tidak berbuat demikian kerana bimbang akan tewas,” ujarnya.
Bagaimanapun, dia dan isteri tidak pernah putus asa serta berdoa agar anak ketiga daripada sembilan beradik itu akan pulih seperti biasa.














