fbpx
Notis larangan merokok diletakkan di sekitar premis makan secara terbuka bagi mengelakkan kanak-kanak berdepan masalah asap rokok. – Gambar hiasan

Merokoklah di rumah bukan kedai makan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Para ibu bapa melahirkan rasa kesal dan kecewa dengan tindakan segelintir perokok yang merokok di kawasan larangan terutama premis makanan yang turut dikunjungi oleh kanak-kanak .

Kelakuan perokok yang se­ngaja ingkar papan tanda mengundang kemarahan kerana mereka ini bersikap mementingkan diri sendiri itu.

Tinjauan Kosmo! berhubung maklum balas orang awam mendapati, rata-rata pernah berdepan dengan golongan tersebut termasuk mereka yang menghisap vape.

Malah, mereka turut memaklumkan biarpun terdapat papan tanda dilarang merokok, perokok tegar yang degil memilih untuk tidak mempedulikannya seolah-olah ia sekadar hiasan.

Seorang kakitangan swasta, Zalina Zalin, 36, yang juga ibu kepada seorang anak berkata, dia dan suami memilih makan di dalam kedai berbanding di luar yang menjadi port merokok atau vape.

“Makan di restoran atau kedai mamak tak kena sebab biasanya akan duduk bahagian dalam, melainkan makan di kedai street food, kasihan tengok budak-budak terpaksa hidu asap rokok.

“Kalau bayi kesannya boleh jadi serius seperti masalah pernafasan dan macam-macam lagi. Jadi, jangan pentingkan diri dan prihatin dengan orang sekeliling,

“Yang merokok pun tak ada common sense. Rasanya kalau tegur, kita yang akan kena balik marah balik sebab bawa budak keluar,” katanya.

Bagi penjawat awam, Nurhanani Mohd. Fahmi, 36, berkata, dia menyarankan perokok tegar dan penghisap vape yang degil ini melakukan tabiat buruk tersebut seorang diri tanpa memberi kesan kepada orang lain.

“Tak bolehkah mereka ini merokok atau vape siap-siap dahulu di rumah sebelum keluar ke kedai makan, dobi atau tempat-tempat awam lain.

“Sekurang-kurangnya nak rosakkan badan, rosak seorang diri sahaja. Tak ada lah orang lain turut rosak juga. Memang rasa terganggu apabila mereka merokok selamba, busuk sangat,” kata ibu anak satu itu.

Sementara itu pekerja swasta, Norhasliza Mohd Shafi, 47, berkata, pemilik restoran juga perlu memainkan peranan dengan tegas bagi membanteras perokok yang degil.

“Perokok yang degil ni memang mengganggu privasi orang lain. Macam saya, sensitif dengan bau rokok, boleh terus pening kepala.

“Pemilik kedai kenalah tegas. Jangan sebab nak untung, hak pelanggan lain terabai. Tak rugi hilang pelanggan macam ni, biar jadi pengajaran pada yang lain.

“Kalau saya berdepan dengan perokok degil ni saya tegur saja. Kalau degil saya beritahu kepada pemilik kalau tak larang, saya akan viralkan kedai dia,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN