fbpx
SOFIZA menerima sumbangan daripada wakil Teh Tarik Club di rumahnya di Pangsapuri Perdana Seksyen 13, Shah Alam baru-baru ini.

Ibu tunggal kesempitan wang, anak ‘cuti’ sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Kesempitan wang memaksa seorang ibu tunggal yang juga penghidap hipertiroid, Sofiza Shahrom, 53, terpaksa ‘merehatkan’ tiga anaknya termasuk seorang kanak-kanak autistik daripada bersekolah sejak Disember lalu.

Menurut Sofiza, tindakannya itu terpaksa diambil ekoran dirinya tidak mampu memberi duit belanja selain gagal melunaskan bayaran van sekolah anak yang berusia 13 hingga 15 tahun.

Katanya, kehidupan mereka kini bergantung kepada pendapatan tiga anaknya yang bekerja sebagai pemandu e-hailing dan kakitangan biasa di sebuah kelab golf selepas kematian suaminya dua tahun lalu.

“Saya sudah berhenti kerja dengan sebuah syarikat swasta enam tahun lalu. Arwah suami bekerja sendiri dengan pendapatannya cukup untuk kami sekeluarga sebelum ini.

“Selepas kematian suami, segala wang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) digunakan kesemuanya termasuk menjelaskan pinjaman pembelian rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Pangsapuri Perdana Seksyen 13 di sini, baru-baru ini.

Terdahulu, Sofiza menerima bantuan barang makanan dan perbelanjaan tiga anaknya daripada Presiden Teh Tarik Club, Zulrushdi Mohamed.

Cerita Sofiza, dia menderita tiroid sejak kecil dan telah dua kali menjalani pembedahan dengan kali terakhir tiga tahun lalu.

“Saya tidak lagi mampu bekerja selepas pembedahan kali ke­dua. Saya kini runsing mengenai persekolahan tiga anak dengan dua daripadanya adalah kembar.

“Jika anak-anak lain berpendapatan tinggi, saya tidak akan meminta bantuan. Saya pun masih memerlukan ubat secara berjadual bagi mengelakkan ketumbuhan sehingga boleh ­menyebabkan menjadi bisu,” ujarnya.

Tambahnya, dia ada membuat permohonan bantuan kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS), namun tidak berjaya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun CIMB Bank 7013834549 (Sofiza ­Shahrom).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN