GUA MUSANG – Lebih 2,000 penduduk di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Renok Baru, di sini, diselubungi ketakutan apabila tiga ekor gajah liar kelaparan menceroboh kawasan rumah mereka untuk mencari makanan sejak dua minggu lalu.
Dua ekor gajah dewasa dan seekor anak gajah itu kebiasaannya datang menjelang senja sebelum beredar awal pagi.
Haiwan liar itu telah merosakkan pelbagai jenis tanaman penduduk seperti pokok kelapa sawit, kelapa, ubi kayu dan serai.
Seorang peneroka, Rani Awang Su, 69, berkata, dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, setiap daripada 235 peneroka mengalami kerugian akibat kemusnahan tanaman hampir RM50,000 ekoran serangan gajah.
“Kami rugi berpuluh ribu ringgit apabila gajah telah membuat ‘khianat’ terhadap tanaman.
“Kami nak pergi ke kebun sawit atau menoreh getah pun dah takut,” katanya kepada pemberita semalam.
Halimah Ngoh, 67, pula berkata, dalam kejadian terbaharu, kira-kira pukul 2.30 pagi pada Rabu lalu, kediamannya telah didatangi beberapa ekor gajah yang turut memakan kira-kira 15 anak pokok kelapa di tepi rumah.
Katanya, dia tersedar daripada tidur selepas terdengar bunyi bising zink rumahnya.
“Saya melihat kelibat gajah dalam keadaan samar dan saiznya besar sehingga mencecah garaj rumah,” katanya.
Seorang anak peneroka, Kartini Mohamed, 45, memberitahu, penduduk telah membuat laporan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan berharap gajah-gajah itu segera ditangkap.
Katanya, dia juga masih ketakutan apabila dapat melihat gajah berkenaan telah bertindak mencabut pokok kelapa sawit dan kelapa di belakang rumahnya.
Sementara itu, Pengarah Perhilitan Kelantan, Mohamad Hafid Rohani pula menasihatkan penduduk supaya menjarakkan diri dan bersembunyi di belakang pokok serta tidak melakukan provokasi jika terserempak dengan haiwan terbabit.














