fbpx
Kejayaan Physiogo disokong kuat oleh tenaga kerjanya yang memberi komitmen tinggi bersama-sama meningkatkan daya saing syarikat.

Physiogo perluas kerjasama dengan universiti tempatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Bagi sesebuah syarikat yang terlibat dalam industri kesihatan, pastinya akan sentiasa berusaha untuk menambah nilai perkhidmatan yang ditawarkan kepada pelanggan dan masyarakat seiring dengan perubahan gaya hidup masa kini.

Kejayaan tersebut turut diukur sekiranya syarikat itu berjaya menjalin kerjasama dengan beberapa institusi pengajian tinggi untuk memberi manfaat kepada golongan pelajar khususnya dalam aspek tawaran latihan industri dan mencari peluang pekerjaan pada masa depan.

Kerjasama itu akan memberi situasi menang menang antara dua entiti berkenaan.

Bersandarkan faktor tersebut, selain prihatin dengan persai­ngan sengit yang dihadapi golo­ngan pelajar selepas mereka me­ninggalkan menara gading dan melangkah ke alam pekerjaan, sebuah syarikat bumiputera, Physiogo Sdn. Bhd. (Physiogo) yang terlibat dalam bidang fi­sioterapi sejak tahun 2016 telah melangkah lebih luas dengan menjalin persepakatan dengan beberapa universiti tempatan.

Tahun lepas syarikat telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZA) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) untuk menyediakan ruang dan peluang kepada pelajar jurusan fisioterapi memperoleh pengalaman praktikal dan pengetahuan dalam alam pekerjaan yang sebenar.

Pengasas syarikat, Mohamad Arif Mohd. Yusof berkata, kini khidmat tersebut diperluaskan pula kepada pelajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) melalui pemeteraian MoU di kampus program tersebut di Puncak Alam di sini baru-baru ini.

Beliau menjelaskan, ini adalah satu permulaan bagi syarikat dengan UiTM untuk meneroka beberapa bidang strategik baharu untuk memberi manfaat kepada pelajar dan juga bagi syarikat.

Inisiatif ini juga akan membolehkan pelajar membuat latihan industri di kesemua lapan cawangan milik syarikat dan memberi pendedahan kepada mereka untuk merasai pe­ngalaman bekerja, berkhidmat dan berurusan dengan pelanggan secara realitinya.

“Jika sebelum ini mereka hanya terdedah kepada pendekatan teori dan pembelajaran di dalam kelas bersama pensyarah tetapi bila berada di cawangan Physiogo, mereka akan me­ngalami sendiri dunia pekerjaan yang sebenar meskipun dalam hanya tempoh yang singkat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pemeteraian usaha sama tersebut di sini baru-baru ini.

Mohamad Arif menjelaskan, antara kelebihan yang diperoleh syarikat melalui kerjasamanya dengan UiTM akan membo­lehkan pihaknya meneroka rawatan, kaedah dan kajian terbaharu dalam industri fisioterapi, sekali gus Physiogo boleh mendapatkan ilmu pengetahuan secara langsung daripada pakar dan pensyarah universiti berkenaan.

“Ini adalah usaha kami untuk meluaskan lagi skop rawatan dalam bidang fisioterapi yang kini semakin bertambah pesat permintaannya,” jelas beliau.

Mohamad Arif menerangkan, melalui persepakatan tersebut, ia akan menempatkan dua hingga tiga pelajar UiTM di setiap cawangannya.

“Tempoh masa mereka berada di sesebuah cawangan itu bergantung kepada kursus yang mereka ambil, jadi mereka akan dberi peluang untuk menimba sebanyak mana ilmu dalam bidang ini,” ujarnya.

Tambah beliau, melihat kepada perkembangan cawangan Physiogo yang telah bertambah luas sejak tahun 2017 itu, kerajasama ini juga akan mengu­kuhkan jenamanya khusus dalam kalangan pelajar yang terlibat dalam dunia fisioterapi yang mana ia akan memudahkan mereka mencari peluang pekerjaan di rangkaiannya pada masa depan.

“Kami juga dalam masa yang sama dapat mengenal pasti pekerja baharu yang berkemahiran dan memiliki pengalaman praktikal untuk memudahkan kami menawarkan pekerjaan kepada kumpulan tersebut.

“Melihat kepada perkemba­ngan perkhidmatan fisioterapi yang makin penting dalam kala­ngan rakyat negara ini ekoran pelbagai insiden yang dialami orang ramai seperti kecede­raan, perubahan gaya hidup dan umur, asas pekerjaan mereka yang menjadi penyebab kepada masalah siku, lutut, bahu dan pelbagai lagi maka rawatan dalam bidang ini penting sekali.

“Jika anda berjumpa doktor dan mengadu sakit pinggang, pastinya doktor akan menyarankan pesakit itu menjalani rawatan fisioterapi, jadi di sini pentingnya fisioterapi yang dapat membantu ramai orang,” jelasnya.

Mengulas mengenai perkembangan terbaharu Physiogo, Mohamad Arif berkata, syarikat bercadang untuk menambah beberapa lagi kerjasama yang serupa dengan universiti lain serta mencari peluang untuk menambah cawangan baharu pada tahun ini.

Syarikat yang memiliki kira-kira 70 pekerja di seluruh cawa­ngannya itu juga sedang membuat kajian dan pembangunan untuk menawarkan perkhidmatan baharu berasaskan digita­lisasi bagi meningkatkan lagi tahap perkhidmatan sedia adanya.

“Kami kini bersedia untuk me­langkah lebih jauh dalam segmen ini dan kami bakal ­menyusun strategi lebih efektif bagi menaikkan nama Physiogo dalam industri ini.

“Bila saya berada di atas pentas bersama beberapa pemain lain dalam industri fi­sioterapi yang bakal menjayakan satu persepakatan dengan universiti terkemuka membuatkan saya rasa bangga dengan pencapaian kami sehingga kini.

“Dalam masa yang sama, inisiatif ini juga akan meningkatkan lagi kebolehpasaran graduan universiti berkenaan,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN