“JIKA diimbas kembali lapan tahun lalu iaitu pada 2016, saya sendiri tidak menyangka mampu sampai ke tahap ini.
“Bayangkan di awal pembabitan dalam perniagaan, ada sahaja ujian dan halangan hingga kami berdua (bersama suami) pernah terfikir untuk cuci tangan dan berhenti berniaga,” ungkap wanita cekal, Hizatulhana Shahadan kepada Aura baru-baru ini.
Hizatulhana adalah insan utama di sebalik jenama produk teknologi pendidikan awal kanak-kanak popular tanah air, MommyHana.
Menurutnya yang mesra disapa Hana, bukan mudah untuk sampai ke tahap ini dan ia diselaputi pelbagai onak duri.
Beritahunya, berkat kesabaran tinggi tanpa kenal erti putus asa berbekalkan cinta mendalamnya terhadap pendidikan awal kanak-kanak, perniagaan diterajuinya mampu bertahan hingga kini.
Jelasnya, di sebalik kejayaan syarikat MommyHana Creative Sdn. Bhd. (MommyHana) gah ke persada tersendiri, terlalu banyak pahit manis ditelannya.
“Sebelum membuat keputusan untuk menghasilkan produk teknologi pendidikan patuh syariah bagi kanak-kanak, macam-macam perniagaan pernah kami lakukan.
“Cakap apa sahaja. Daripada menjual kain tudung dan pakaian, kurta semuanya pernah kami cuba dan lalui.
“Cuma yang paling tidak dapat dilupakan adalah apabila ditipu ratusan ribu ringgit ketika jual kurta disebabkan kecuaian sendiri dan kurangnya ilmu di dada kala itu,” ujarnya.
Disebabkan insiden ditipu itu juga, dia mengalami depresi yang begitu teruk hingga menjejaskan masalah kesihatan, hilang fokus selain hampir berputus asa dan berasa sudah tiada masa depan.
Namun kemudian, dia mula sedar dan memperbaikinya dengan mencari ilmu melalui seminar.

Akui Hana, kesilapannya dan suami juga apabila mereka berdua banyak melakukan perniagaan secara serentak pada ketika itu dan tidak ada fokus yang betul-betul jelas.
Katanya lagi, pengalaman tersebut benar-benar mematangkan mereka dan menganggap pengalaman ditipu sebagai satu ‘yuran’ pembelajaran yang perlu dibayar sebelum berjaya pada masa hadapan.
Kongsi Hana, dia tidak pernah menyangka hanya bermula dengan sekadar mencuba dan menginspirasikan anak sulung lelakinya sebagai konsep perniagaan, usahanya itu menjadi.
Bermula daripada perasaan ingin memberikan yang terbaik kepada anak, produk buku interaktif mereka yang pertama iaitu My First Book dan My Islamic Book, MommyHana mendapat tempat dan dikenali ramai.
“Sebagai seorang ibu dan siapa sahaja ibu di luar sana, pasti mereka mahukan yang terbaik buat anak. Begitu juga dalam soal pendidikan dan kemenjadian perkembangan anak-anak itu sendiri.
“Jadi, saya juga mahukan perkara sama terutama dalam perkembangan pendidikan yang sempurna. Bermula dari situlah, saya mendapat idea dan sumber inspirasi untuk membangunkan produk teknologi pendidikan khas buat kanak-kanak dengan jenama MommyHana,” katanya.
Selang beberapa tahun, syarikat bumiputera ini turut menghasilkan Islamic Audio Device serta makanan tambahan seperti Excel Hana, Emmune Kids dan Emmune Adult.
Pada masa sama, pendekatannya yang sering kali berbaju sekolah mempromosikan produknya turut diperakui sebagai teknik pemasaran yang cukup bijak dan menjadi.
MommyHana turut mengorak langkah sebagai peneraju produk teknologi pendidikan negara selepas berjaya mencipta sensasi tersendiri apabila mencatatkan jualan ‘Ebookku by MommyHana’ lebih daripada 200,000 unit selepas dilancarkan.
Lebih membanggakan, produk yang terkenal dengan slogan ‘dipercayai ibu-ibu’ itu turut berjaya mengintai pasaran luar negara seperti Brunei, Indonesia, Singapura, beberapa negara Asia Barat serta United Kingdom.
“Alhamdulillah selepas ‘Ebookku by MommyHana’ mendapat sambutan hangat, kami keluarkan pula Islamic Audio Device yang juga mendapat permintaan tinggi pengguna.
“Islamic Audio Device merupakan satu alat yang membantu melatih semua orang tidak hanya kanak-kanak untuk mendengar ayat suci al-Quran setiap hari.
“Menariknya, alat yang tiada radiasi ini juga dilengkapi bunyi yang menenangkan seperti alunan ombak, lullaby, white noise, mozart, lagu-lagu daripada rancangan kanak-kanak, Omar & Hana dan juga lagu-lagu khas zikir
MommyHana dendangan artis, Deja Moss,” katanya.
Tambah Hana yang merupakan graduan ukur bahan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), dia dan suami bersyukur pelancaran produk Islamic Audio Device yang dilakukan sekitar April 2019 mendapat sambutan luar biasa apabila nilai jualan mencatatkan lebih RM1 juta tidak sampai dua jam selepas dilancarkan.
Syarikat yang diasaskan bersama suami, Mohd. Farid Mohamed Sangido itu turut melebarkan sayap dan pengaruhnya dengan menghasilkan produk persekolahan untuk kanak-kanak pada hujung 2022.
Ditanya apakah kekuatan MommyHana berbanding pesaing di pasaran, ibu kepada tiga cahaya mata itu menyifatkan mereka mempunyai keunikan tersendiri yang digemari para ibu bapa.
“Pertamanya, zikir-zikir daripada MommyHana ringkas dan mudah diikuti, sesuai untuk melatih anak-anak supaya berzikir di usia muda.
“Keduanya, kami turut pernah menjalinkan kolaboratif bersama produksi animasi kanak-kanak popular, Omar & Hana sebagai rakan korporat bagi beberapa tahun sebelum ini.
“Ketiganya, kami mahu apa yang dikongsi dan diberikan bukan sahaja dijadikan sebagai ilmu di dunia, tetapi sebagai bekalan dan saham akhirat kami di sana kelak,” katanya yang kini mempunyai hampir 20,000 pengedar sah di seluruh Malaysia.
Hana bersyukur sehingga ke saat ini dengan izin Allah, produknya telah dimanfaatkan lebih setengah juta keluarga di dalam dan luar negara.
Hana yang kini dalam proses menyelesaikan pengajian doktor falsafah (PhD) berkata, dia pernah berdepan kecaman hebat netizen yang mendakwa produknya mahal termasuklah produk ‘MommyHana Back to School’ seperti botol air yang dikatakan netizen terlalu mahal hingga dilabel harga kayangan.
Tidak duduk diam, Hana yang memuat naik hantaran dalam laman sosial menyifatkan ramai orang tidak tahu usaha yang diletakkan untuk menghasilkan sesuatu produk, apatah lagi produk yang berkualiti, tahan lama dan terbaik.
Tambahnya, pihak syarikat sendiri telah melakukan yang terbaik dalam mengeluarkan barisan produk mereka termasuk botol air yang mengambil masa selama dua tahun proses penyelidikan selain menelan belanja jutaan ringgit sebelum dipasarkan.
Menutup bicara, Hana yang kini hamil anak keempat berkata, setiap wanita mempunyai kekuatan tersendiri yang tidak seharusnya diabaikan tanpa berbuat apa-apa.














