LANGKAH aktor berpotensi besar Mierul Aiman di persada hiburan semakin kencang selepas namanya membahang terutama sejak fenomena Projek: High Council tahun lalu.
Selepas berakhirnya drama bersiri terbabit, kelibat jejaka berusia 25 tahun itu masih rancak menghiasi televisyen dan platform over the top (OTT).
Malah, pemilik nama lengkap Mohammad Amirul Aiman Norazman itu membuktikan dirinya bukan popular semusim apabila menjadi pilihan jenama produk mahupun kerap diundang menghadiri acara berprestij.

Idam ke layar perak
Baginya, semua peluang yang diberikan sebagai penyuntik semangat untuk memberikan yang terbaik sebagai imbal balik atas sokongan ramai.
“Apabila terus mendapat laluan untuk meneroka pengalaman baharu baik dari segi lakonan atau cabang lain termasuk komersial, saya anggap ini semua sebagai bukti kepercayaan semua pihak.
“Disebabkan itu saya enggan ambil ringan seterusnya mahu bekerja keras kerana lakonan kini adalah kerjaya saya dan perlu dilaksanakan dengan sepenuh hati.
“Sebagai pengkarya, selain drama dan saluran penstriman, sudah tentu saya ingin melangkah pula ke layar perak yang saya tahu cabaran ke arah itu juga besar,” katanya.
Mengakui tidak salah berangan, Mierul juga menaruh harapan agar dapat membintangi filem biopik yang disifatkan sebagai peluang keemasan.
Luahnya, tema filem itu adalah antara naskhah paling sukar buat seorang pelakon apabila perlu mendalami karakter seseorang tokoh yang merupakan ikon atau idola ramai.
Meski perjalanan ke arah itu dirasakan agak jauh, selain ramai teman seangkatan yang turut mengejar peluang serupa, tidak sesekali juara Hero Remaja 2021 itu menyerah kalah.
“Tiada apa yang mustahil kerana paling penting kena berusaha dan jangan mudah putus asa. Saya yakin waktunya akan tiba,” tambahnya yang sebelum ini pernah terbabit dalam beberapa filem pendek.

Bawa watak tokoh
Bercerita lagi mengenai keinginan meneroka industri perfileman, pelakon yang dikenali dengan rahang seksi itu turut menyimpan angan-angan membawakan watak tokoh dalam filem biopik yang diidamkan.
“Secara peribadi saya lihat naskhah paling mencabar buat seorang pelakon adalah tema biopik seperti filem Bohemian Rhapsody, Ali, Ghandi dan sebagainya.
“Karya yang mengupas realiti kehidupan seorang figura tersohor dalam sesuatu lapangan itu perlu didalami dan diperhalusi sekali gus memberikan tanggungjawab berat kepada penggalas watak utama.
“Apa pun buat masa ini saya teruskan perjuangan dengan mengasah lagi bakat selain mencabar diri mengambil tawaran mencuba pelbagai watak termasuk sebagai ‘bodyguard’ dalam W: Two Worlds,” ujarnya.

Inspirasi pengawal peribadi
Menurut Mierul, biarpun drama bersiri arahan Datuk Yusry Halim itu sudah tamat menerusi Viu beberapa hari lalu, impak naskhah yang menyaksikan gandingan utama Daiyan Trisha dan Hun Haqeem itu masih diperkatakan.
“Sejujurnya karya adaptasi dari Korea Selatan itu sangat istimewa kerana walaupun mempunyai elemen romantis, siri ini mendapat suntikan babak dramatik serta aksi termasuk menguji ketangkasan menggunakan senjata api.
“Saya berbesar hati apabila karakter ‘bodyguard’ bernama Ghazi yang melindungi keselamatan watak utama lakonan Hun Haqeem mempunyai kelompok peminat tegar.
“Mungkin kemenjadian peranan tersebut disebabkan saya banyak meneliti karakter pengawal peribadi yang menjaga pelakon Projek: High Council ketika promosi dulu.
“Dari situ saya improvise, tengok drama asal selain berbincang dengan pengarah bagi mendapatkan hasil seperti diinginkan,” katanya lagi.
Ligat jalani uji bakat
Enggan menunggu rezeki datang bergolek, si tinggi lampai yang turut ligat di arena peragaan sejak usia belasan tahun tidak kisah naik turun tangga menghadiri uji bakat.
Tidak melihat perkara tersebut sebagai sesuatu yang merumitkan, biar sudah membina kredibiliti keperluan untuk membolehkannya mencuba peranan lain tetap dipenuhi.
“Kalau tidak mencuba mana kita tahu kemampuan sendiri, begitu juga dengan menghadiri sesi uji bakat yang rata-rata adalah proses biasa dilalui anak seni lain.
“Mungkin ada yang lebih selesa tunggu tawaran, tetapi saya lebih suka mencuba kerana dalam situasi itu hakikatnya kita juga mendapat pengalaman.
“Kalau tak dapat pun mungkin timbul rasa kecewa, cuma satu saja kita kena ingat kadangkala bukan kerana kita tak bagus, tetapi watak itu lebih sesuai untuk orang lain.
“Cuma alhamdulillah, sepanjang sesi yang saya jalani, belum pernah lagi rasa kecewa tidak diberikan sesuatu watak,” kongsinya sambil tersenyum.

Harapan 2024
Pada masa sama, Mierul yang turut mengakui teruja melangkah ke 2024 berharap tahun ini memberikan rezeki lebih luas kepada seluruh penggiat seni tidak terkecuali dirinya.
Melihat potensi industri seni yang terus rancak, pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal itu yakin mampu menyahut cabaran menggalas segala peranan sama ada watak antagonis atau putih.
“Tidak kira hero atau pembantu, semua pelakon mempunyai kekuatan dalaman memantapkan penceritaan.
“Andai dipanggil untuk beberapa babak pun saya tetap ambil serius setiap inci adegan.
“Inilah amanah yang saya harus penuhi apatah lagi bidang seni sudah semakin kental dalam diri ini,” ujarnya menutup bicara.














