KOTA BHARU – Hasrat seramai 16 warga asing termasuk seorang wanita untuk mencari pekerjaan di Kuala Lumpur tidak kesampaian selepas mereka dicekup ketika menaiki bas persiaran di sekatan jalan raya (SJR) Op Ambang Tahun Baharu di Jalan Persiaran Raya, Gua Musang dekat sini semalam.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kelantan, Superintendan Shuhaimi Jusoh berkata, kesemua warga asing itu ditahan semasa anggota polis menjalankan pemeriksaan ke atas empat buah bas persiaran semasa tiba di SJR tersebut.
Menurutnya, warga asing yang ditahan melibatkan enam warganegara Myanmar, Bangladesh (6) dan Indonesia (2) dan masing-masing seorang warga India dan Pakistan.
“Siasatan awal mendapati, kesemua warga asing itu sedang dalam perjalanan dari Kota Bharu untuk mencari pekerjaan di Kuala Lumpur.
“Pasport 11 orang daripada mereka didapati sudah tamat tempoh, manakala lima lagi warga asing itu merupakan pendatang asing tanpa izin (PATI) selepas tiada dokumen pengenalan diri,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.

Terdahulu, Shuhaimi bersama pegawai dan anggota polis trafik, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Alam Sekitar menjalankan Op Ambang Tahun Baharu di Jalan Hamzah, di sini.
Shuhaimi memberitahu, kesemua warga asing yang ditahan itu dipercayai akan bertemu dengan ejen masing-masing yang sudah menunggu mereka di ibu negara.
Mengulas mengenai Op Ambang Tahun Baharu, beliau berkata, sebanyak 453 kesalahan trafik dikenal pasti dengan 306 saman dikeluarkan oleh pihak JPJ di 17 lokasi SJR di seluruh negeri Kelantan bermula pukul 10 malam hingga pukul 3 pagi tadi.
Menurutnya, kesalahan lesen kenderaan bermotor paling banyak dikesan dengan 113 kesalahan termasuk 51 penunggang motosikal dan 13 pemandu lori sepanjang operasi itu.

“Selain itu, sebanyak 20 kesalahan dikesan melibatkan masalah lampu brek, ubah suai ekzos (50), tiada perlindungan insurans (5), aksesori (29), nombor pendaftaran (100) dan memotong di garisan berkembar (1).
“Polis memeriksa sebanyak 2,138 buah kenderaan dengan melibatkan seramai 2,458 individu sepanjang lima jam operasi dijalankan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














