KOTA BHARU – Mangsa banjir di Kelantan menurun kepada 20,640 orang berbanding 21,380 orang pagi tadi susulan cuaca baik di kebanyakan kawasan sepanjang hari ini.
Sektretariat Pengurusan Bencana Kelantan dalam satu kenyataan berkata, setakat pukul 4 petang tadi. jumlah itu menunjukkan pengurangan sebanyak 740 mangsa.
Menurutnya, empat daerah masih terjejas iaitu Tumpat, Pasir Mas, Tanah Merah dan Kuala Krai.
“Kesemua mangsa daripada 6,730 keluarga itu ditempatkan di 54 buah pusat pemindahan sementara (PPS).
“Daripada jumlah itu Pasir Mas merekodkan mangsa banjir paling tinggi dengan 16,980 orang berlindung di 32 buah PPS, Tumpat (2,684), Kuala Krai (793) dan Tanah Merah (183),” katanya.
Menurut kenyataan itu, dua buah PPS di Gua Musang ditutup sepenuhnya pada pukul 10.50 pagi tadi.
Katanya, setakat ini, paras Sungai Golok di Rantau Panjang masih berada pada tahap amaran.
“Sungai Kelantan di Tangga Krai (Kuala Krai), Kusial (Tanah Merah), Tambatan Diraja (Kota Bharu) dan Kuala Jambu (Tumpat) melepasi paras amaran manakala Sungai Golok di Jenob, Tanah Merah berada pada berjaga-jaga.
Tambahnya, sungai-sungai lain di negeri ini masih mencatatkan bacaan normal. – KOSMO! ONLINE