BEBERAPA hari lagi kita akan melangkah ke tahun baharu 2024. Sekali gus meninggalkan tahun 2023 yang masih menjadi tahun sukar untuk kita terutama melihat kepada pertumbuhan ekonomi yang masih perlahan.
Ternyata serangan virus Covid-19 pada awal 2020 yang meruntuhkan kerancakan ekonomi global masih membelenggu kita semua. Jangkitan virus itu secara senyap membunuh lebih 3.4 juta manusia di dunia.
Tidak setakat itu, virus berkenaan juga menyebabkan ramai kanak-kanak menjadi yatim piatu, para pekerja hilang pendapatan serta banyak perniagaan runtuh dan berkubur begitu sahaja.
Sementara tahun 2022 yang dianggap sebagai tahun pemulihan seakan jatuh ditimpa tangga apabila perang Russia-Ukraine meletus pada Februari sehingga menjejaskan bekalan bijirin, gandum dan bekalan tenaga seperti minyak dan gas ke Eropah.
Impak daripada perang tersebut termasuk menambah kadar kebuluran di beberapa negara khususnya di Afrika, selain peningkatan harga makanan yang akhirnya membentuk rantaian masalah sehingga ke dapur kita sendiri.
Oleh kerana perang tersebut masih berlarutan ditambah dengan fenomena cuaca ekstrem yang tidak menentu serta trend ringgit yang menyusut berbanding dolar Amerika Syarikat, perjalanan tahun 2023 boleh dikatakan agak suram.
Apa yang kita harapkan ialah laporan ekonomi Malaysia yang berkembang 3.3 peratus pada suku ketiga 2023 berbanding 2.9 peratus pada suku kedua boleh dijadikan sandaran dan sinar sebelum kita melangkah ke tahun baharu.
Pertumbuhan itu antara lain disumbangkan oleh perbelanjaan isi rumah, disokong oleh guna tenaga dan upah, manakala aktiviti pelaburan disokong oleh kemajuan projek dan pengembangan kapasiti syarikat.
Ada berpandangan bahawa tahun 2024 juga bukan menjadi tahun yang menggembirakan. Hal ini kerana, wujud kebimbangan perangkap beberapa faktor termasuk kadar inflasi yang meningkat selepas kerajaan menstrukturkan semula subsidi beberapa keperluan asas rakyat, kadar pengangguran serta ancaman ekonomi global.
Malah senario kadar ringgit berbanding dolar AS juga sangat memainkan peranan kerana bukan sahaja menekan ekonomi negara tetapi juga menjejaskan apa yang ada di atas meja makan kita.
Pada tahun 2022, kita mengimport RM75 bilion untuk mengisi keperluan makanan kita daripada daging, beras sehinggalah kepada bawang, kita masih terpaksa bergantung kepada negara luar untuk menikmatinya.
Sampai bila keadaan ini, berterusan? Tanyalah diri sendiri. Semoga 2024 menjadi tahun yang lebih baik kepada semua. -KOSMO! ONLINE














