Pada 5 Disember lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhi hukuman penjara 16 tahun ke atas bekas pekerja teknologi maklumat kerana bersalah menyebabkan kematian pengurus bank, Syed Muhammad Danial Syed Syakir.
Hukuman itu diputuskan berhubung kejadian bertelingkahan berdarah yang berlaku di jalan raya kira-kira empat tahun lalu.
Dalam kejadian pada petang 5 Jun lalu pula, seorang penyelia kilang yang menunjal dan mengugut pemandu wanita turut menerima padah apabila Mahkamah Majistret Tapah menjatuhi hukuman penjara tujuh hari kerana mengugut dan mencederakan mangsa.
Ironinya, kedua-dua kes yang berlaku itu berpunca daripada sikap yang terlalu menurut kata hati sehingga tidak mampu mengawal sifat amarah sehingga mendorong seseorang bertindak di luar batasan.
Rasa tidak puas hati yang membuak-buak mendorong mereka melakukan tindakan tanpa dikawal akal waras yang bukan sahaja boleh mencederakan mangsa, malah turut meragut nyawa insan yang mungkin hanya melakukan ‘kesalahan kecil’.
Bak kata pepatah, terlajak perahu boleh diundur tapi terlajak ‘perbuatan yang melampau’ hukuman penjara menanti pesalah.
Apabila kes dibawa ke mahkamah, seribu penyesalan mungkin sudah terlewat dan tidak berguna lagi. Paling penting, cuba bersikap tenang semasa memandu.
Kesalahan dalam kalangan pemandu pasti akan berlaku di jalan raya. Mana mungkin semua pemandu sempurna. Lebih-lebih lagi untuk mengikut kehendak dan cara pemanduan kita.
Dalam soal ini, kena banyak bersabar. Benar, memang ada pemandu atau penunggang motosikal yang melakukan kesalahan di jalan raya, memandu atau menunggang secara bahaya dan sebagainya.
Namun kita tidak berhak menghukum mereka dengan tangan kita sendiri.
Pun begitu, bagi mengelak perkara seumpama ini berulang, elok rasanya jika semua pemandu atau penunggang motosikal berusaha untuk memandu atau menunggang dengan cara paling berhemah.
Elaklah daripada melakukan perbuatan yang boleh menimbulkan kemarahan kepada pihak lain seperti tidak berhenti di simpang, memotong barisan secara berbahaya, menghimpit kenderaan lain, memandu secara melulu, memandu dalam keadaan mabuk atau melanggar lampu merah.
Kesalahan-kesalahan ini boleh mendorong berlakunya kes buli jalanan jika bertemu dengan pemandu baran.
Apa-apa pun, elok rasanya kita lebih menggunakan akal ketika berdepan situasi tegang semasa memandu di jalan raya.
Apa hebatnya sangat sifat baran kita, kalau kehidupan kita berakhir di tirai besi?
















