fbpx
Ibnor Riza dan M. Daud Kilau

Permata seni yang hilang buat selamanya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Berbaki seminggu sahaja lagi 2023 bakal melabuhkan tirai. Sepanjang tahun ini, banyak kisah suka duka tercatat dan antaranya kehilangan insan tersayang.

Industri hiburan juga tidak terkecuali dikejutkan dengan berita pemergian nama-nama besar dari pelbagai cabang seni yang pernah menghiburkan kita semua.

Bermula dengan perkhabaran duka penyanyi jazz terkenal, Datin Paduka Julie Sudiro menghembuskan nafas terakhir pada usia 80 tahun di Hospital UiTM Puncak Alam akibat komplikasi paru-paru, 5 Februari lalu.

Pada 27 April, industri sekali lagi dikejutkan dengan berita vokalis kumpulan XPDC, Mael atau nama sebenarnya, Syed Ismail Syed Ibrahim, 55, meninggal dunia di Hospital Muar selepas diserang penyakit asma.

Bulan Mei menyaksikan pemergian seniman legenda era filem hitam putih, Wahid Satay yang meninggal dunia dalam tidur pada usia 93 tahun di Singapura. Allahyarham yang terkenal dengan filem terbitan Cathay-Keris menghidap pelbagai jenis penyakit termasuk lemah jantung dan kencing manis.

Sebelum itu, pada 4 Mei, aktor popular awal 1990-an, Ridzuan Hashim, 62, pulang ke rahmatullah akibat serangan jantung di Hospital Kuala Lumpur.

Oktober 2023 mencatat rekod paling ramai anak seni meninggal dunia bermula dengan pelakon dan pengarah Majed Saleh pada 6 Oktober akibat komplikasi jantung disusuli Bad Indigo pada 26 Oktober yang dilaporkan mengalami sesak nafas dan rebah di tempat kerja.

Dua hari kemudian (28 Oktober), bintang filem Azizah The Legend, Badrul Muhayat pula menyahut seruan Ilahi ketika berada di Pulau Pinang.

Tarikh 8 November menyaksikan pemergian penyanyi Tia Jinbara, 53, yang meninggal dunia seminggu selepas dikesan menghidap kanser hati, diikuti bekas anggota kumpulan In-Team, Suhaimi Saad, 43, pada 21 November akibat jangkitan kuman pada paru-paru.

Pada Disember, pengikut setia industri hiburan berduka dengan kehilangan Raja Gelek Malaysia, Datuk M. Daud Kilau yang pergi buat selama-lamanya pada usia 85 tahun ketika mendapatkan rawatan di Hospital Teluk Intan, Perak.

Pemergian bintang legenda kesayangan ramai yang terkenal dengan imej baju labuci dan lagu Cek Mek Molek ini ditangisi ramai.

Terdahulu, pada 17 Disember, penyanyi popular era 1980-an, Ibnor Riza, 63, meninggalkan kita selepas dua minggu ditidurkan sejak menjalani pembedahan pembedahan membuang cecair di kepalanya.

Allahyarham disahkan menghidap kanser limfoma tahap empat pada Mac lalu.

Selain itu, 2023 turut menyaksikan pemergian penyampai berita Nightline, TV3, Raymond Goh atau nama Islamnya, Muhammad Zaman Goh Abdullah dan artis serba boleh veteran, Mek Habsah pada 11 September serta penyanyi Rohana Jalil, 68, pada 21 Jun akibat kebocoran usus.

Melihat senarai di atas, semestinya ia satu kehilangan besar buat industri seni negara dan tiada galang gantinya. Terima kasih atas segala pengorbanan dan jasa menghiburkan rakyat Malaysia. Semoga ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman. Al-Fatihah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN