fbpx
TERDAPAT warga asing kini beralih kepada pekerjaan membawa e-hailing walaupun perkara itu melanggar undang-undang di negara ini. – GAMBAR HIASAN

‘Bawa e-hailing sebab bantu kawan sakit’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – “Itu (Danny) kawan saya, saya baru dua bulan bawa (e-hailing), bantu dia sakit.”

Demikian ujar seorang lelaki dipercayai warga Pakistan yang dikesan memandu kenderaan e-hailing bagi laluan dari ruang legar Menara Berkembar Petronas (KLCC) ke stesen tren Transit ­Aliran Ringan (LRT) Damai.

Terdahulu, wartawan Kosmo! Ahad yang melakukan penyiasatan membuat tempahan bagi 12 perjalanan selama dua ming­gu dan menaiki kereta dipandu warga asing itu kira-kira pukul 11 malam pada 20 Disember lalu.

Ketika menggunakan perkhid­matan itu, wartawan dalam usaha memastikan dakwaan terdapat warga asing yang semakin berani menceburkan diri dalam bidang perkhidmatan sebagai pemandu e-hailing.

Dalam keadaan curiga, wartawan memilih untuk teruskan perjalanan bagi mendapatkan cerita bagaimana pemandu asing ini boleh ‘terlepas’ menjalankan perkhidmatan dalam sektor e-hailing.

“Kamu Danny (ID seorang lelaki Melayu)? Sebab dekat sini (aplikasi) kata kamu Danny, tapi kamu bukan orang Melayu.

“Kamu sudah berapa lama bawa macam ini (e-hailing), guna kereta sendiri?,” soal penulis.

“Itu (Danny) kawan saya, saya baru dua bulan bawa (e-hailing), bantu dia sakit,” balas pemandu asing itu.

“Mana boleh orang lain bawa, orang lain pandu. Saya boleh report (aduan),” tegas wartawan.

“Saya kesian kawan, kalau tak kerja tak ada duit belanja, saya bantu dia,” balasnya semula.

Perbualan antara wartawan dengan pemandu terbabit juga tidak terlalu panjang disebabkan jarak perjalanan yang dekat iaitu kurang 15 kilometer (km).

Bagaimanapun, adalah menjadi satu persoalan bagaimana terdapat warga asing yang berani melakukan pekerjaan tersebut walaupun ia merupakan kesalahan dari segi undang-undang di negara ini.

Kosmo! semalam melalui laporan muka depan melaporkan, warga asing yang menetap di negara ini dilihat semakin berani apabila mula menceburkan diri dalam bidang perkhidmatan sebagai pemandu e-hailing.

Mengikut syarat yang ditetapkan syarikat pengendali e-­hailing, pemandu tersebut mestilah warga Malaysia dan memiliki lesen memandu yang sah selain beberapa tuntutan lain yang perlu dipenuhi.

Wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Mokhtar Razak tidak menolak kemungkinan perkara itu timbul berpunca kewujudan sindiket sewa beli identiti (ID) dan kenderaan e-hailing milik orang tempatan kepada warga asing.

Menurut Mokhtar, kira-kira 30 tahun lalu, warga asing masuk ke Malaysia untuk bekerja sebagai buruh dalam sektor sektor 3D iaitu kotor (dirty), bahaya (danger) dan sukar (dificulty).

Namun, terdapat segelintir mereka yang menyertai bidang perkhidmatan dengan bekerja sebagai pemandu lori sampah, bas persiaran, van kilang dan kini beralih kepada e-hailing.

“Setakat ini kami me­nerima lebih 30 aduan berkaitan warga asing memandu kende­raan e-hailing di Lembah Klang dan Pulau Pinang sejak awal tahun ini.

“Persoalannya bagaimana warga asing ini ‘terlepas’? Saya percaya ada sindiket yang aktif melakukan kerja secara haram. Kami di NGO sedang giat mengesan dalangnya,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN