BIDANG perkhidmatan pelanggan antara pekerjaan yang bekal menerima impak dalam tempoh lima tahun. – GAMBAR HIASAN

Teknologi AI ambil alih kerja-kerja kerani, juruwang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Tenaga kerja di beberapa sektor khususnya te­lekomunikasi, peruncitan dan automatif berdepan risiko kehilangan pekerjaan apabila teknologi kecerdasan buatan (AI) dijangka menguasai sektor ber­kenaan menjelang 2030.

Keadaan itu bakal menyaksikan mereka yang mencari rezeki sebagai kerani kaunter, bahagian sumber manusia, pembuatan selain perkhidmatan pelanggan dilihat bakal menerima impak lebih awal.

Turut dijangka berdepan impak sama ialah kumpulan pekerja sebagai juruwang bank, penjual tiket, kerani pos, setiausaha serta kerani perakaunan dan bahagian kewangan.

Menurut Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd. Effendy Abdul Ghani, kumpulan pekerjaan terbabit dijangka terjejas selepas teknologi AI mula menguasai pelbagai sektor termasuk pentadbiran.

“Kami jangkakan banyak pekerjaan bakal dikuasai oleh AI selepas kehidupan rakyat mula digantikan dengan pelbagai teknologi digital ketika ini.

“Sekarang ini, bukan sahaja di kaunter-kaunter pembayaran menggunakan kaedah cashless, tetapi tugasan di pejabat juga sudah mengaplikasikan sistem digital yang tidak mengharapkan tenaga manusia.

“Oleh itu, secara tidak langsung, ia telah mengurangkan kebergantungan kepada tenaga manusia untuk menguruskan sesuatu kerja, seterusnya be­risiko mengurangkan peluang pekerjaan dalam negara,” kata­nya ketika ditemui Kosmo!.

Mengulas lanjut, Mohd. Effendy berkata, peningkatan kebergantungan kepada teknologi AI dalam bidang tertentu bakal memberi cabaran besar kepada sektor pekerjaan sekiranya tiada pelan tindakan awal diambil.

Katanya, sekiranya pemain industri terlibat tidak bertindak awal dalam memahami konsep digital, kemungkinan besar AI bakal mengubah corak pekerjaan di negara ini.

“Susulan itu, majikan perlu memainkan peranan pen­ting dalam memastikan setiap pekerja diberi latihan menyeluruh khususnya menerusi konsep upskilling dan reskilling bagi membolehkan mereka bersedia menghadapi gelombang AI.

“Buat masa ini, syarikat multinasional dilihat tidak mempunyai masalah ke arah itu (latihan), tetapi ia mungkin memberi sedikit halangan kepada industri kecil dan sederhana.

“Bagaimanapun, hal itu perlu diberi tumpuan bagi memastikan setiap pemain industri mampu menyediakan pekerja berdaya saing dalam menghadapi gelombang AI kelak,” jelasnya.

Katanya, menerusi konsep reskilling, pekerja perlu memberi keutamaan kepada bidang digital supaya selari dengan konsep AI, manakala upskilling pula mempelajari bidang baharu yang bersesuaian.

“Sekarang ini, semua bidang mula beralih ke arah digital termasuk perniagaan.

“Jika pekerja sedia ada tidak menguasainya, mereka akan berdepan cabaran memandangkan kerajaan juga sudah ke arah itu melalui pelaksanaan Program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang menyediakan graduan berkemahiran,” jelasnya.

Bagaimanapun, Pensyarah Kanan Bahagian Ekonomi, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Dr. Abdul Rais Abdul Latiff menyifatkan, AI dilihat sebagai pelengkap sektor pekerjaan dan bukannya pengganti industri tersebut.

Susulan itu, katanya, AI bakal memberi nilai tambah kepada kemahiran dimiliki pekerja sekali gus membolehkan mereka lebih berdaya saing termasuk memasarkan kemahiran dimiliki ke peringkat global.

“Sebenarnya, AI banyak memasuki sektor profesional se­perti pembuatan dan automotif di mana ia turut memberi impak positif kepada pekerja kerana memerlukan kemahiran tinggi mengendalikan teknologi itu,” katanya.

Jelasnya, apa yang dilakukan kerajaan ketika ini seperti meningkatkan aspek upskilling dan reskilling merupakan langkah baik ke arah menyediakan pekerja berkemahiran tinggi.

“Keadaan itu bakal memberi nilai tambah dalam pasaran buruh untuk jangka masa panjang, seterusnya membolehkan mereka bukan sahaja bekerja di tahap domestik, namun ke peringkat global.

“Justeru, apabila ada gabungan antara AI dan kemahiran tinggi, ia berupaya mening­katkan produktiviti negara dan me­nyumbang kepada pembentukkan ekonomi yang berdaya saing,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN