PETALING JAYA – Warga asing yang menetap di negara ini dilihat semakin berani apabila mula menceburkan diri dalam bidang perkhidmatan sebagai pemandu e-hailing.
Mengikut syarat yang ditetapkan syarikat pengendali e-hailing, pemandu itu mestilah warga Malaysia dan memiliki lesen memandu yang sah selain beberapa tuntutan lain yang perlu dipenuhi.
Wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Mokhtar Razak tidak menolak kemungkinan perkara itu timbul disebabkan kewujudan sindiket sewa beli identiti (ID) dan kenderaan e-hailing milik orang tempatan kepada warga asing.
Menurut Mokhtar, kira-kira 30 tahun lalu, warga asing masuk ke Malaysia untuk bekerja sebagai buruh dalam sektor sektor 3D iaitu kotor (dirty), bahaya (danger) dan sukar (difficulty).
Namun, ada segelintir mereka yang menyertai bidang perkhidmatan dengan bekerja pemandu lori sampah, bas persiaran, van kilang dan kini beralih kepada e-hailing.
“Setakat ini pihak kami menerima lebih 30 aduan berkaitan warga asing memandu kenderaan e-hailing di Lembah Klang dan Pulau Pinang sejak awal tahun ini.
“Seperti kita tahu, antara syarat wajib menjadi pemandu e-haling mestilah warganegara Malaysia, memiliki lesen memandu kompeten (CDL) selain lulus lesen vokasional (PSV).
“Persoalannya bagaimana mereka (warga asing) ini terlepas? Saya percaya ada sindiket yang aktif melakukan kerja secara haram. Kami di NGO sedang giat mengesan dalangnya,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.
Bercerita lanjut, Mokhtar mendedahkan, ada pemandu warga asing mendakwa mereka perlu membayar sewa RM50 hingga RM100 sehari kepada pemilik ID, manakala kenderaan pula disewa daripada pihak lain.
“Ada pemandu tempatan menawarkan kenderaan mereka untuk disewa kepada warga asing dengan kadar RM100 hingga RM150 sehari,” jelasnya.
Mokhtar berharap Kementerian Pengangkutan dan pihak berkuasa lain dapat mengambil langkah tegas dalam membanteras isu tersebut.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam, Datuk Dr. Jacob George memberitahu, kes warga asing menjadi pemandu e-hailing banyak dilaporkan berlaku di Lembah Klang apabila pihaknya menerima 45 aduan dalam tempoh tiga bulan.
“Ini adalah ‘norma baharu’ yang mana warga Bangladesh dan Nepal yang masuk sebagai pendatang asing tanpa izin (PATI) kemudian mereka mula menguasai satu persatu sektor pekerjaan di Malaysia.
“Mereka bayar yuran tinggi mencecah RM30,000, jadi mereka mahukan pulangan. Mereka tidak melakukan satu kerja semata-mata, jika boleh semua pekerjaan mereka hendak ceburi.
“Dahulunya buruh kasar, sekarang ramai yang sudah pandu lori besar, bas kilang dan ada yang memandu e-hailing. Semua itu dilakukan secara haram. Rakyat tempatan tiada untuk isi kekosongan, jadi mereka (majikan) ambil pekerja asing,” katanya ketika dihubungi.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan warga asing yang menjalankan perkhidmatan e-hailing menggunakan identiti rakyat tempatan.
“Macam mana mereka boleh lepas? Ada orang tempatan yang membantu seperti sewakan ID dan kenderaan kepada warga asing.
“Cumanya sejauh mana perkara ini akan berlarutan, pihak kami sendiri sedang siasat lagi. Ada yang terlepas tiada lesen PSV untuk mengendalikan e-hailing,” dakwanya.
Selain itu, Jacob memberitahu, kebanyakan warga asing yang berhijrah ke Malaysia bukan mahu menumpang rezeki semata-mata, tetapi dilihat lebih kepada ‘membolot’ hak dan juga keistimewaan sehingga menjadi pesaing hebat kepada rakyat tempatan.
Dalam pada itu, Ketua Aktivis Gabungan e-hailing Malaysia (GEM), Jose Rizal memberitahu, pihaknya memandang serius berhubung penglibatan warga asing sebagai pemandu e-hailing.
Namun, kata Jose, setakat ini pihaknya masih belum menerima sebarang laporan atau rasmi mengenai perkara itu.
“Kita sedar ada kejadian tular melibatkan warga asing jadi pemandu e-hailing, memang jika ikut syarat ia merupakan satu kesalahan. Tapi pihak kami belum terima aduan rasmi daripada mana-mana pihak termasuk pelanggan.
“Bagi saya, kebanyakan kes seperti ini boleh dilihat di kawasan perindustrian yang jauh dari bandar besar. Mungkin sukar mendapat akses kepada pengangkutan, jadi warga asing ambil kesempatan tawar perkhidmatan e-hailing secara haram.
“Mereka tidak berdaftar dengan mana-mana syarikat, tetapi menawarkan perkhidmatan seperti ‘kereta sapu’ yang bawa penumpang tanpa permit, janji dapat upah,” katanya.
Tambahnya, lambakan pemandu haram ini memberi saingan selain menjejaskan pendapatan orang tempatan yang menceburi bidang e-hailing.
Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa dan kementerian terlibat untuk mantapkan kawalan serta pemantauan ke atas aktiviti warga asing di negara ini kerana ia akan menjadi barah sekiranya terus dibiarkan. -KOSMO! ONLINE















