PETALING JAYA – Haier Malaysia menyasarkan pertumbuhan jualan sehingga 45 peratus pada tahun depan, kata Pengarah Urusannya, Fan Jing.
Menurut beliau, nilai sasaran itu dipacu oleh strategi syarikat yang melancarkan sejumlah perkakas rumah canggih dalam enam kategori yang akan menjadi tarikan dalam barisan produknya untuk suku pertama tahun depan.
“Produk ini direka untuk menjadikan kehidupan lebih baik dan lebih dinikmati, termasuklah pendingin hawa, peti sejuk, peti beku, mesin basuh, televisyen, pemanas air dan perkakas dapur,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.
Fan Jing menjelaskan, untuk mendapatkan kediaman lebih selesa, pendingin hawa siri UV Cool Premium (VXA) dan UV Cool Smart (VRA) Haier yang baharu mempunyai modul Wi-Fi secara ‘built-in’, membolehkan pengguna menetapkan suhu dan tetapan pilihan dari mana-mana sahaja melalui aplikasi Haismart.
Tambah beliau, pendingin hawa ini mempunyai teknologi pensterilan UVC yang menyamankan udara dan menghalang pembawaan bakteria dan virus udara, sekali gus menggalakkan kehidupan yang lebih sihat. Ia telah menerima penarafan oleh Texcell pada kadar kecekapan 99.991 peratus dalam menyingkirkan SARS-CoV-2, dan kadar penyingkiran virus 99 peratus oleh SGS.

Ciri kemudahan yang sama ini turut digabungkan ke dalam pendingin hawa komersial ringan Haier untuk kegunaan pejabat.
Selain itu, peti sejuk empat pintu terbaharu, HRF-IM758LXG(B), menggabungkan aplikasi Haismart untuk memudahkan kehidupan pengguna.
“Selepas menyambungkan peti sejuk ke rangkaian Wi-Fi, pengguna boleh menguruskan makanan, kawalan mod, kawalan suhu dari jauh dan juga menerima tips tentang resipi kegemaran mereka melalui aplikasi.
“Satu lagi ciri adalah ‘Daylight’ yang memberikan pencahayaan yang lebih baik dan lebih sekata di bahagian dalam peti sejuk apabila pintu dibuka untuk pencahayaan yang lebih jelas, walaupun dalam gelap,” ujarnya.

.Sementara itu, Haier memperkenalkan mesin basuh muatan depan yang akan datang menjadikan kerja cucian lebih mudah.
BD14266S8 mempunyai ketersambungan dengan Wi-Fi, membolehkan pengguna mengawal mesin basuh dari mana-mana sahaja di dalam rumah. Ia juga dilengkapi dengan panel paparan Color Ai yang terang dan elegan untuk kawalan yang lebih tepat ke atas tetapan.
Melengkapkan barisan produk rumah ini adalah hud dan dapur gas memasak baharu. Hud HH-GT6907GB memaparkan reka bentuk volut bionik yang besar yang membolehkan aliran udara yang kuat dan tidak tersekat sebanyak 2200m3/j sambil kekal senyap.
Sementara itu, hob HC-Q893STGB, HC-Q872PTGB dan HC-Q872PTDG mempunyai ‘Timer Setting’ yang secara automatik mematikan bekalan gas sebaik pemasa kehabisan untuk mengelakkan kemungkinan kemalangan berbahaya. -KOSMO! ONLINE















