Beberapa hari lagi, dunia akan menyambut tahun 2024 namun, sejak 7 Oktober lalu, Gaza diserang tentera Israel sehingga kini.
Serangan dari udara dan darat itu menyebabkan lebih 18,000 penduduk Palestin terkorban termasuk bayi, kanak-kanak dan wanita di Gaza.
Bagaimanapun, tindakan ganas Rejim Zionis bukan hanya berlaku di Gaza tetapi telah merebak ke Tebing Barat. Lebih 200 penduduk terkorban angkara tentera Israel di Tebing Barat.
Bilangan yang cedera pula ialah lebih 50,000 orang di Gaza dan lebih 3,000 lagi di Tebing Barat .
Kekejaman Israel yang hanya dilihat oleh sekutu kuatnya, Amerika Syarikat (AS) membedil hospital dan masjid di Gaza.
Serangan itu dilakukan oleh tentera Israel sebagai membalas dendam terhadap Hamas yang melancarkan ribuan roket dan anggota-anggotanya menyusup masuk ke Israel.
Lebih 1,100 orang terkorban dan lebih 200 lagi ditawan oleh Hamas. Walaupun begitu, sebahagian tebusan itu dibebaskan dalam pertukaran dengan sejumlah tahanan Palestin di penjara Israel.
Pertukaran tahanan itu berlaku ketika gencatan senjata kemanusiaan berlaku yang bermula pada 24 November lepas sebelum Rejim Zionis menyambung kempen pengeboman pada 1 Disember lalu.
Gencatan senjata itu pula diusahakan oleh Qatar yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel selain Mesir serta AS.
Mesir pula mempunyai hubungan diplomatk dengan Israel. Setakat ini, penulis berpendapat tidak ada mana-mana pihak yang boleh menekan Israel supaya menghentikan serangan ke atas Gaza dengan tujuan untuk memusnahkan Hamas.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pula tidak mempunyai ‘taring’ untuk menghentikan serangan tentera Israel ke atas Gaza itu.
Buktinya, AS memveto resolusi resolusi PBB bagi meminta gencatan senjata kemanusiaan kali kedua dengan segera di Gaza.
Rejim Zionis pula seperti mewajarkan serangan ke atas Gaza dengan menyalahkan para pejuang Hamas menyerang Israel. Namun, Israel langsung tidak mempedulikan amaran yang diberikan Hamas yang meminta Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis tidak diserang.
Tambahan pula, Israel telah mengusir sejumlah penduduk Palestin pada 1948 lagi. Adilkah perbuatan Israel? Amat menyedihkan kerana pembunuhan genosid yang dilakukan oleh tentera Israel seolah-olah ‘dihalalkan’ oleh AS pada awal Disember lalu di PBB.
Serangan di Gaza itu adalah kali kedua dilakukan Israel ketika di bawah pemerintahan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu. Netanyahu melancarkan serangan itu pada 2007 selepas seorang askarnya ditawan oleh para pejuang Palestin.
Peperangan itu berlalu selama empat bulan lebih sedikit dan angka korban jauh lebih rendah. Persoalannya sampai bilakah Israel akan berhenti membedil wilayah Palestin?














