fbpx
SELEPAS Suraya menghidap kanser payudara dan terpaksa membuang payudaranya, suaminya semakin menjauhkan diri daripadanya.- Gambar hiasan

Bini kanser buang payudara, suami kembali gila ‘crush’ lama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IMPIAN setiap wanita adalah untuk mendirikan rumah tangga bersama lelaki yang dicintainya.

Suraya (bukan nama sebenar) antara wanita yang bertuah itu.

Impiannya itu terlaksana apabila dia berkahwin dengan teman lelakinya yang dikenali sejak mereka melanjutkan pelajaran bersama di universiti.

“Saya dan suami mengenali antara satu sama lain ketika kami sama-sama melanjutkan pengajian.

“Setelah tamat pengajian, dia melamar saya untuk dijadikan isteri.

“Pada ketika itu, saya merasakan cukup bertuah kerana dilamar oleh lelaki yang saya cintai sepenuh hati,” katanya yang kini berusia awal 50-an.

Sepanjang hidup bersama hampir tiga dekad, perkahwinan mereka diserikan dengan kehadiran tiga cahaya mata.

Malah, suaminya berjaya dalam perniagaan yang diusahakan dan mereka boleh hidup dalam keadaan serba mewah.
Kewangan bukan menjadi masalah buat mereka sekeluarga.

Setiap tahun mereka sekeluarga pasti akan melancong ke luar negara bersama-sama.

Suraya merasakan dia cukup beruntung kerana dianugerahkan suami yang mampu memberikan kemewahan buat mereka sekeluarga.

Namun begitu, kebahagiaan yang dirasakan olehnya akan berpanjangan sehingga ke akhir usia teruji apabila Suraya disahkan menghidap kanser payudara.

“Beberapa tahun lalu, saya disahkan berhadapan dengan masalah kanser payudara.

“Pada waktu itu, saya rasa begitu ‘down’, tetapi suami dan anak-anak memberi semangat kepada saya supaya terus berjuang,” jelasnya.

Malah, suaminya sanggup mengeluarkan sejumlah wang bagi merawat masalah dihadapi itu.

Bagaimanapun, kanser itu semakin merebak sehingga menyebabkan Suraya harus membuang sebahagian payudaranya.

Selepas itu, Suraya mula mendapati suaminya itu mula berubah dan mereka semakin jarang bersama seperti pasangan suami isteri lain.

“Saya sering ditinggalkan bersendirian di rumah bersama orang gaji. Suami saya sibuk dengan urusan perniagaannya.

“Anak-anak saya tidak ada di rumah kerana ada yang telah tinggal berasingan. Ada yang sedang melanjutkan pelajaran di luar negara,” ulasnya.

Tambahnya, dia berasa amat sunyi dan kebahagiaan yang dirasakan sebelum ini seakan diragut.

Akhirnya, Suraya dapat ‘menghidu’ bahawa suaminya mula bersikap sedemikian disebabkan pihak ketiga.

Dia mendapat tahu bahawa suaminya itu kembali menjalinkan hubungan bersama wanita yang diminatinya atau ‘crush’.

“Ketika zaman belajar, suami saya ada menaruh perasaan pada seorang wanita tetapi cintanya itu tidak terbalas.

“Wanita itu hanya menganggap suami saya tidak lebih daripada seorang rakan biasa saja.

“Selepas ditolak oleh wanita itu, barulah suami mendekati saya dan kami menjalinkan hubungan,” terangnya.

Dia mengetahui hal tersebut setelah dimaklumkan oleh sahabatnya yang terlihat suaminya ada keluar bersama wanita lain. Mereka kelihatan cukup mesra.

Ketika di rumah, Suraya juga menyedari bahawa suaminya itu sering menghabiskan masa dengan telefon pintar dan ada ketikanya mereka akan tidur berasingan.

“Setelah mengetahui akan hal tersebut, saya terus meminta penjelasan daripada suami.

“Pada mulanya, dia mengelak untuk menjawab. Namun setelah didesak, dia akhirnya mengakui bahawa telah menjalinkan hubungan dengan wanita itu.

“Malah, suami berterus terang kepada saya bahawa dia tersilap kerana tidak bersungguh-sungguh mengejar wanita itu ketika zaman belajar dahulu,” jelasnya.

Apa yang membuatkan Suraya semakin terluka adalah apabila suaminya menyatakan bahawa dia sudah tidak menyayanginya.

Disebabkan wanita itu, mereka telah bergaduh besar.

Suaminya juga menyatakan, dia tekad dengan keputusan untuk menjadikan wanita tersebut sebagai isteri yang sah.

“Suami saya juga memberi pilihan sama ada saya memilih untuk terus menjadi isterinya dan menerima wanita itu sebagai madu atau mereka mengambil keputusan berpisah.

“Saya tidak sanggup berkongsi kasih kerana saya tahu suami akan melebihkan wanita itu berbanding dirinya.

“Setelah berfikir panjang, saya mengambil keputusan untuk berpisah meskipun anak-anak menghalang,” ulasnya.

Akhirnya, selepas persetujuan bersama untuk beberapa perkara, Suraya dan suami sah berpisah di sebuah mahkamah syariah di Lembah Klang.

Suraya memaklumkan, dia baru mendapat maklumat bahawa bekas suaminya itu telah selamat berkahwin dengan wanita berkenaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN