KUALA PILAH – Kebimbangan penduduk di Kampung Tengah, Tanjung Ipoh dekat sini mengenai ancaman harimau kumbang akhirnya menjadi kenyataan apabila dua ekor lembu milik seorang penternak mati dibaham dalam dua kejadian baru-baru ini.
Dalam kejadian pada 30 Oktober dan 5 November lalu, dua ekor lembu milik Baharin Mohamad, 52, ditemui dalam keadaan perut terburai selain organ dalaman haiwan itu habis dilapah binatang itu.
“Sejak dari kecil saya memang tahu kawasan hutan berhampiran kampung ini ada harimau kumbang, tetapi binatang itu tidak pernah menganggu kami dan hanya menampakkan kelibatnya,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.
Bagaimanapun, katanya, sejak sebulan lalu, binatang liar itu telah menampakkan diri sehingga membaham haiwan ternakan.
Katanya, dalam kejadian pertama pada 30 Oktober lalu, lembu kesayangannya yang diberi nama ‘Merah’ ditemui mati dalam keadaan perut terburai.
“Mula-mula saya ingat ini perbuatan khianat, namun selepas diperhatikan, rupanya terdapat kesan gigitan tajam pada leher.
“Ikutkan saiz gigitan seperti harimau kumbang yang agak besar. Kali kedua pun sama apabila hanya bahagian perut yang terburai,” katanya yang mempunyai 70 ekor lembu ternakan.
Menurutnya, penduduk kampung kini bimbang kerana haiwan liar berkenaan tidak pernah mengganggu penduduk sebelum ini.
“Baru-baru ini ada juga penternak kambing di Kampung Gunung Pasir yang memaklumkan kepada saya mengenai tujuh ekor kambingnya yang mati dibaham harimau kumbang,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Azman Daud, 52, berkata, dia yakin dengan kehadiran harimau kumbang di kampung berkenaan ekoran keadaan reban ayamnya yang runtuh akibat dirempuh binatang liar itu.
Menurutnya, kejadian berkenaan berlaku pada pukul 1 pagi baru-baru ini selepas dia terdengar bunyi bising dari kawasan reban.
“Sebaik saya datang dan lampu dipasang, saya terkejut melihat seekor harimau kumbang berada di dalam reban ayam.
“Dua ekor ayam belanda dan ayam kampung kacukan hutan milik saya turut mati dibaham,” katanya.
Kosmo! pada 11 Ogos lalu melaporkan mengenai penduduk di Kampung Mara Parit Tinggi, Kuala Pilah yang diselubungi misteri mengenai kemunculan semula harimau kumbang yang sekian lama menghilangkan diri.


















