fbpx
GAMBAR HIASAN

Faham jemaah, jangan syok sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BARU-BARU ini penulis sempat mengunjungi sebuah masjid di ibu negara untuk menunaikan solat Jumaat dan tiba awal bagi memudahkan urusan meletakkan kereta di dalam kawasan masjid.

Biasanya sebelum itu khatib yang membaca khutbah tidak mengambil masa yang panjang untuk menghabiskan teks yang disediakan sekitar 15 hingga 20 minit sahaja.

Namun keadaan itu tidak berlaku pada hari tersebut apabila khatib yang diamanahkan untuk memberikan peringatan dan nasihat kepada jemaah mengambil masa panjang untuk menghabiskan bacaannya.

Dikhabarkan khatib itu merupakan jemputan dari luar dan kurang arif dengan keadaan makmum yang datang solat Jumaat di kawasan berkenaan.

Bagi penulis, khutbah Jumaat tidak perlu terlalu panjang melebihi setengah jam. Keadaan ini menyebabkan jemaah mula berasa mengantuk dan tidak khusyuk mendengarnya.

Apa yang berlaku pada hari itu, bacaan khutbah pertama pun sudah lebih setengah jam dan ini mengambil masa jemaah yang mempunyai urusan selepas selesai solat.

Tempoh yang paling ideal untuk khutbah sepatutnya 15 minit memandangkan lebih separuh jemaaah di masjid itu adalah mereka yang bekerja sama ada penjawat awam atau swasta yang sentiasa mengejar masa untuk kembali bertugas selepas itu.

Perlu diingat bahawa bacaan yang ringkas tapi padat dengan nasihat dan dibaca lancar dengan suara bersemangat adalah lebih baik berbanding meleret hingga merimaskan jemaah.

Ingatkan isu ini hanya terhenti di situ sahaja, tetapi ia berlarutan hingga dalam solat apabila khatib berkenaan turut menjadi imam.

Beliau membaca surah yang agak panjang menyebabkan solat yang dikerjakan habis lambat. Penulis melihat ramai jemaah kelihatan resah, mungkin takut terlambat untuk masuk semula ke pejabat.

Penulis akui memang bacaan imam dalam soal boleh dikategorikan sebagai A+, tetapi tidak sesuai dengan situasi yang mana orang ramai perlu kembali semula ke pejabat untuk menyambung pekerjaan, bukannya bersantai di taman permainan selepas itu.

Dalam bacaan sembahyang terutama solat Jumaat, sebaik-baiknya ayat lazim sahaja. Dalam hal ini, tidak perlu ayat panjang kerana ramai jemaah yang hadir bukan sahaja mereka perlu kembali bekerja, tetapi ada ada yang sudah lanjut usia dan sakit.

Bukanlah hendak beritahu kita tidak perlu meluangkan masa untuk beribadat, tetapi mereka yang bekerja juga mempunyai tanggungjawab dengan majikan kerana gaji dibayar ikut jam dan diberikan had masa tertentu untuk keluar menunaikan solat Jumaat.

Jadi, apabila bacaan khutbah dan surah panjang daripada kebiasaan, terlambatlah masuk ke pejabat.

Kesimpulannya, khatib khususnya perlu peka dengan jemaah yang hadir. Tidak salah untuk membaca khutbah panjang dan meleret, cuma kena tengok kesesuaian jemaah pada masa tersebut, janganlah sampai menyusahkan orang lain. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN