PERCATURAN dan syarat yang diletakkan penyanyi asal Indonesia, Afgan untuk konsert yang kesekian kali di Malaysia, Afgan Live In Concert With Orchestra berlangsung dengan iringan pemuzik orkestra tempatan, ternyata menjadi dan membuahkan hasil.
Mana tidaknya, persembahan yang berlangsung pada 2 Disember lalu di Dewan Plenari Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) meninggalkan senyuman tanpa puas buat sekitar 3,000 peminat.
Afgan mahu persembahan kali ini diiringi pemuzik orkestra kerana mahu menampilkan kelainan sementelah belum pernah mengadakan konsert diiringi pemuzik bertaraf dunia itu.
“Saya sudah beberapa kali menjayakan konsert di sini (Malaysia).
“Untuk edisi kali ini, memang saya sendiri yang minta supaya persembahan saya diiringi dengan pemuzik orkestra dari Malaysia,” kata Afgan.
Aura penghibur
Hanya selang masa setahun selepas kali terakhir selepas menjayakan konsertnya berjudul Afgan Evolution Kuala Lumpur pada tahun lalu, penyanyi berlesung pipit itu tidak mengambil masa yang lama untuk kembali ke negara ini mengubati kerinduan peminat dengan lantunan vokal lunaknya.
Seisi ruang dewan penuh sesak dengan kehadiran peminat setianya, bukan sahaja dari Malaysia, bahkan juga dari Singapura, Brunei dan Indonesia sendiri, sekali gus membuktikan aura penyanyi berusia 34 tahun itu masih kuat.
Tepat pukul 8.30 malam, penyanyi dengan nama lengkap Afgansyah Reza membuatkan seluruh dewan berteriak, saat muncul mendendangkan lagu pembuka tirai berjudul Mengertilah Kasih.

Sengaja lagu berentak rancak itu dipilih sebagai ‘pemanas badan’ untuk merancakkan lagi suasana selain mahu memancing semangat penonton supaya tidak lena.
Terus menghangatkan suasana malam, Afgan tidak sempat duduk apabila terus mendendangkan lagunya berjudul Ada sehingga membuatkan penonton terbuai-buai dengan kelunakan vokalnya sebelum memberikan sedikit ucapan, tanda penghargaan buat peminatnya yang hadir pada malam tersebut.
“Alhamdulillah, kita bertemu lagi Malaysia. Kangen (rindu) sama saya? Saya juga kangen sama kamu.
“Tahun lalu di pentas yang sama, saya berada di sini selepas empat tahun tidak menjejakkan kaki ke Malaysia.
“Ternyata jodoh kita masih ada apabila saya kembali lagi ke sini untuk menghiburkan kamu semua.
“Terima kasih kerana masih setia menyokong perjalanan seni saya di sini,” katanya sambil disambut sorak hadirin.
Lagu ‘galau’
Pentas persembahan yang ‘hangat’ dihujani dengan lampu neon berona jingga memanaskan lagi pentas persembahan tatkala Afgan menyanyikan seleksi dua buah lagu berbahasa Inggeris miliknya berjudul Brand New Day dan Rollercoaster.
Terkenal dengan lagu-lagu bertemakan ‘galau’, Afgan meneruskan persembahan dengan menarik emosi untuk menghayati persembahannya menerusi lagu Pendam, Kunci Hati dan Untuk Aku Bertahan, sekali gus membangkitkan rasa romantis seisi dewan.

Lagu ‘wajib nyanyi’ yang harus didendangkan Afgan tentulah lagu Kumohon milik penyanyi terkenal negara, Datuk Sheila Majid yang pernah dirakam kembali olehnya, sembilan tahun lalu.
Saat yang ditunggu peminat apabila penyanyi undangan, Raisa tampil ke pentas menyanyikan lagu duetnya bersama Afgan berjudul Percayalah sebelum penyanyi wanita yang memiliki vokal mantap itu mengambil alih seketika ruang dengan menyanyikan lagu berhantunya berjudul Kali Kedua.
Sukses
Anggun mengenakan gaun labuh berona putih, ternyata penampilan penyanyi wanita berusia 33 tahun itu antara saat yang dinantikan peminatnya yang turut hadir memberikan sokongan.
Kembali menghangatkan pentas, Afgan muncul dengan seleksi lagu-lagunya yang menjadi siulan peminat apabila mendendangkan lagu berjudul Jodoh Pasti Bertemu dan Bukan Cinta Biasa.
Suasana seakan-akan tidak lagi terkawal apabila penonton mula berdiri dan menari ketika penyanyi itu kembali menyanyikan lagu rancaknya berjudul Panah Asmara yang menjadi antara lagu paling popular miliknya.
Meskipun suasana malam kian memekat, Afgan tidak nampak lelah sehingga masuk ke babak terakhir dengan menghadiahkan dua buah lagu lagi berjudul Kau Dengannya, Ku Dengan Dia dan Bawalah Pergi Cintaku.
Penamat konsert yang melibatkan seramai 25 pemain orkestra itu wajar diberikan pujian kerana persembahan yang ditampilkan berbeza dengan konsertnya yang terdahulu.
“Rasa sedih mahu meninggalkan kalian, tapi saya pasti suatu hari nanti saya akan ke sini lagi untuk bertemu dengan kamu semua,” ujarnya sebelum konsert melabuhkan tirai.














