MELAKA – Jualan produk jenama tempatan khususnya dalam industri perniagaan makanan dan minuman (F&B) menunjukkan peningkatan mendadak sejak kebelakangan ini susulan kempen boikot oleh majoriti pengguna ke atas produk-produk pro-Israel.
Kempen boikot itu adalah bagi mengecam kekejaman Israel ke atas bumi Gaza, Palestin yang kini telah meragut lebih 15,000 nyawa dengan kebanyakan daripada mangsa adalah kanak-kanak dan wanita.
Susulan kempen tersebut, kebanyakan produk-produk F&B jenama tempatan seperti Richiamo Coffee, Marrybrown dan GTR Burger telah mencatatkan peningkatan jualan sehingga 40 peratus.
Pengarah Urusan Kumpulan Richiamo Coffee, Muhammad Zamry Abu Samah berkata, peratusan peningkatan itu bagaimanapun direkodkan berbeza-beza mengikut kepada kepadatan penduduk di sesebuah kawasan.
Ujarnya, kini jualan di rangkaian utama jenama itu boleh mencecah sehingga RM13,000 sehari, berbanding sekitar RM9,000 sebelum ini.
“Sejak dua minggu lalu, pola jualan kami menunjukkan peningkatan yang agak ketara iaitu kira-kira 40 peratus berbanding sebelumnya.
“Kami juga menerima banyak permintaan bagi pembukaan cawangan baharu dan menyasarkan untuk mencapai sekurang-kurangnya 200 cawangan menjelang hujung tahun ini,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Ujarnya, cawangan itu mempunyai lebih 60 jenis minuman termasuk panas, sejuk dan blended serta menu makanan yang mengikut cita rasa tempatan.
“Harga minuman kami juga berpatutan dengan keadaan ekonomi yang mencabar ketika ini. Sekiranya jualan terus merekodkan peningkatan, sudah pasti kita akan menambah jumlah cawangan dan sekali gus menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan,” katanya.
Tambahnya, kini jenama itu mempunyai 178 cawangan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
Bagi jenama GTR Burger, kenaikan itu telah membantu peniaga makanan jalanan mencapai sasaran jualan yang ketika ini sedikit terkesan ekoran cuaca hujan sejak kebelakangan ini.
Pengasasnya, Najib Jalil berkata, jualan di 320 cawangan juga telah kembali normal mencecah 40,000 biji burger sehari.
“Jualan kami meningkat kira-kira 30 peratus meskipun dalam keadaan cuaca yang kerap hujan di seluruh negara ketika ini.
“Sokongan orang ramai terhadap jenama tempatan membolehkan 600 usahawan kami mencapai sasaran jualan dan sekiranya keadaan ini berterusan, kami yakin jenama ini mampu beralih ke peringkat restoran,” ujarnya.

Jelasnya, jenama itu sebelum ini berjaya mencapai jualan mencecah lebih RM15 juta pada tahun kedua pembukaan dan akan memperkenalkan jualan secara kiosk pada awal tahun hadapan di Melaka sempena program Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024).
Sementara itu, pemilik cawangan Marrybrown Klebang Utama, Melaka, Fazil Group memberitahu, jualan harian di restoran makanan segera itu meningkat tiga kali ganda berbanding dua bulan lalu.
Pengasasnya, Datuk Seri Mohamad Fazil Shafie berkata, cawangan itu kini sentiasa dipenuhi pelanggan bermula ia dibuka pada pukul 11 pagi sehingga pukul 11.30 malam.
“Sejak sebulan lalu restoran Marrybrown di Klebang ini dipenuhi pelanggan dan saya percaya ini adalah impak positif daripada pilihan orang ramai dalam memberi respons terhadap situasi genosid di Palestin.
“Jika situasi ini dilihat berterusan sehingga tempoh enam bulan, saya percaya bukan cawangan Marrybrown sahaja akan bertambah tetapi jenama tempatan lain akan turut merasai momentum permintaan ini,” ujarnya.














