KENDURI orang dulu-dulu begitu istimewa. Hidangan nasi kenduri adalah hasil gotong-royong dalam kalangan penduduk kampung yang menggunakan konsep pakatan.
Sebulan sebelum kenduri, pakatan yang umumnya diketuai oleh ketua kampung itu akan bermesyuarat bersama tuan rumah bagi menetapkan tugasan untuk anak-anak buah daripada tukang masak, tukang bancuh air hingga ke mentara atau penanggah.
Untuk jamuan, orang dulu-dulu walaupun mempunyai bajet terhad akan ‘menumbangkan’ lembu atau kambing mengikut jenis kenduri yang kemudian dimasak beramai-ramai oleh penduduk kampung. Itu satu kemestian.
Satu lagi elemen penting dalam kenduri dulu-dulu di Kedah adalah balai yang juga dibuat secara bergotong-royong oleh penduduk kampung seminggu sebelum majlis berlangsung.
Batang pokok kelapa akan dibuat pelapik sementara buluh pula akan dijadikan dinding balai.
Balai merupakan satu kemestian kerana di situ tetamu akan duduk bersila ketika menjamu selera.
Nasi kenduri dan lauk-pauk juga dihidangkan dalam dulang sebelum dibawa kepada tetamu yang menanti di situ.
Suatu yang pasti, suasana kenduri seperti itu sudah pupus ditelan zaman.
Masyarakat Melayu hari ini lebih gemar memilih khidmat katering untuk menyediakan kenduri mereka daripada makanan hingga ke khemah yang menggantikan balai itu.
Cara itu lebih mudah bagi kebanyakan daripada kita.
Begitu juga pakatan yang wujud di kampung-kampung sudah tidak aktif. Jika ditanya kepada generasi hari ini terutama daripada Gen X dan Y, suasana kenduri seperti itu tentu sangat asing kepada mereka.
Barangkali, Gen X adalah generasi yang terakhir dapat merasai suasana kenduri seperti ini terutama mereka yang berusia 40-an kerana menjelang tahun 90-an konsep katering sedikit demi sedikit menggantikan konsep pakatan atau gotong-royong itu.

Namun, bagi mereka yang ingin bernostalgia dengan kenangan silam seperti itu, kenduri seumpama ini bukan sesuatu yang mustahil untuk dijelmakan semula pada zaman alaf baharu kini.
Sama seperti Musa Abu Hassan, 47, yang juga seorang eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB) dari Perda, Bukit Mertajam, Pulau Pinang yang berasal dari Kampung Tok Seron, Alor Setar, Kedah.
Sekitar 25 tahun lalu, Musa mengahwini isterinya, Noorhayati Mohamad, 46, yang juga kakitangan TNB di Seberang Jaya, Pulau Pinang lengkap dengan adat resam kenduri orang lama.
Menurut Musa, kerana nostalgia itu, dia dan isteri membuat keputusan untuk mengadakan kenduri dengan suasana dulu-dulu untuk majlis kesyukuran keluarga serta akikah sembilan anak saudaranya.
Hasrat pasangan berkenaan mendapat restu daripada penduduk Kampung Tok Seron, Alor Setar yang bersetuju untuk bergotong-royong merealisasikan kenduri itu pada perayaan Deepavali baru-baru ini.
Musa bercerita, persiapan awal kenduri itu nyata memenatkan, namun sangat berharga kerana memori silamnya dan isteri tiba-tiba kembali menerobos ke ingatan masing-masing.
“Kami menetap di Seberang Jaya tetapi merancang sejak beberapa bulan lepas lagi untuk adakan kenduri kesyukuran kerana saya membeli sebidang tanah di kampung kelahiran saya itu.
“Kemudian adik beradik saya pula menyatakan hasrat untuk turut serta untuk kenduri akikah anak-anak mereka,” katanya ketika ditemui pada kenduri tersebut di Kampung Tok Seron baru-baru ini.
Menurut Musa, langkah pertama yang dilakukan mereka adalah meminta persetujuan daripada penduduk Kampung Tok Seron yang kelak menjadi nadi kepada kenduri berkenaan.
“Konsep utama dalam kenduri orang dulu-dulu adalah kerjasama daripada penduduk kampung terutama ketua kampung. Kalau mereka tak bersetuju, memang tak menjadi. Alhamdulillah, semua berjalan lancar.
“Kali pertama kami mesyuarat sebulan lepas untuk membahagikan tugas masing-masing. Secara keseluruhan, lebih 50 penduduk kampung daripada pelbagai lapisan usia turut serta dalam pakatan ini,” ujar bapa kepada tiga cahaya mata ini.
Persiapan bermula sejak saat itu, katanya, termasuk menyediakan semua kelengkapan seperti pinggan mangkuk dan dulang yang mempunyai ciri-ciri tradisional.
“Orang dahulu akan menyediakan kelengkapan ini tetapi kini sudah pupus kerana orang kita sudah memilih cara katering.
“Sesuatu yang mencabar untuk saya dan isteri mencari pinggan mangkuk lama ini. Selain kami beli di merata tempat di negeri ini, kami juga terpaksa merantau sehingga ke Melaka,” katanya.
Pasangan terbabit berjaya mendapatkan sebanyak 80 pinggan mangkuk serta dulang lama dari Negeri Bersejarah itu dengan harga RM500 sebagai tambahan kepada koleksi yang mereka miliki daripada pengumpul barang-barang lama.
Cabaran lain, kata pasangan berkenaan, adalah untuk mendirikan balai seperti kenduri dulu-dulu menggunakan bahan semula jadi tanpa perlu mengeluarkan perbelanjaan secara bergotong-royong.
“Apa erti kenduri dulu-dulu kalau tidak ada balai. Balai inilah yang akan menampakkan suasana kenduri orang dulu-dulu. Balai itu kami buat bersama penduduk kampung terutama anak-anak muda seminggu sebelum majlis.
“Kebetulan saya baru membersihkan sebidang tanah yang dibeli dan ada beberapa batang pokok kelapa sudah ditebang. Pokok kelapa ini kami buat pelapik balai selain batang buluh sebagai tiang,” katanya.
Sebanyak ekor lembu dan empat ekor kambing disembelih untuk majlis tersebut bagi masakan gulai batang pinang dan kurma, manakala 100 kilogram (kg) nasi ditanak menggunakan teknik periuk Apollo, iaitu kaedah lama mengukus nasi. Semuanyanya secara bergotong-royong oleh penanggah kenduri itu.
Menurut Musa, dia tidak menyangka sambutan daripada tetamu sangat memberangsangkan sehingga mereka terpaksa memasak nasi minyak dan lauk tambahan.
“Kami menjangkakan cuma 1,000 tetamu tetapi yang datang 1,500 jadi kami terpaksa menambah makanan.Kami membelanjakan keseluruhan RM15,000 untuk kenduri ini, memang memenatkan untuk mengatur semua tetapi rasa berbaloi.
“Keinginan kami juga untuk membolehkan anak-anak kami merasai suasana kenduri dulu-dulu seperti ini, begitu juga untuk semua tetamu yang dijemput. Apa yang menggembirakan kami adalah semua penduduk kampung turut serta bergotong-royong termasuk anak-anak muda,” jelasnya.
Katanya, selain itu penduduk kampung dalam kalangan wanita turut memilih untuk berpakaian baju kurung Kedah bagi menambah seri kenduri tersebut.
“Kami menjemput dari pukul 12 tengah hari sehingga 5 petang tetapi selepas itu pun ada lagi yang datang sehingga ke waktu malam.
“Saya amat berterima kasih kepada penduduk kampung ini yang merealisasikan impian saya dan isteri ini,” katanya.














