Pernahkah anda mendengar tentang ‘lembu merah’ atau disebut sebagai ‘Red Heifer’. Terma tersebut merujuk kepada lembu yang dianggap suci oleh Bangsa Yahudi atau Bani Israel.
Kriteria lembu merah mestilah lembu betina berwarna kuning kemerahan, bulunya lurus dan satu warna sahaja bermakna tiada tompok. Ia tidak pernah bunting, diperah susunya, membawa beban atau digunakan untuk kerja berat.
Lembu itu juga hanya minum air bersih daripada mata air. Menurut kitab Yahudi, lembu merah dibawa kepada rabbi Yahudi sebagai binatang korban.
Mengikut sejarah Yahudi, hanya sembilan lembu merah disembelih dalam tempoh bermula daripada zaman Nabi Musa termasuk oleh Nabi Musa sendiri hingga kepada detik kemusnahan Kuil Kedua.
Bangsa Yahudi mempercayai bahawa di bawah pekarangan Masjid Al-Aqsa atau Temple Mount menurut kepercayaan mereka, terdapat Kuil Nabi Sulaiman atau Haikal Sulaiman, manakala perkataan kuil itu sendiri adalah tidak tepat.
Nabi Sulaiman seperti rasul sebelum dan selepasnya, menyeru kepada ajaran Islam dan tempat tersebut adalah untuk beribadah kepada Allah.
Haikal Sulaiman yang merupakan tempat suci Bani Israel dimusnahkan kali kedua sekitar tahun 70 Masehi oleh panglima perang Rom, Titus.
Berbalik kepada lembu merah, kisah itu turut disebut dalam kitab suci al-Quran iaitu Surah Al-Baqarah mengenai bagaimana Bani Israel yang merupakan umat Nabi Musa, diperintahkan menyembelih seekor lembu untuk menyelesaikan permasalahan mereka.
Kedegilan bangsa Yahudi mendorong mereka tidak segera mencari seekor lembu dan menyempurnakan perintah Tuhan, sebaliknya bertanyakan lebih banyak soalan tidak penting tentang lembu yang perlu dikorbankan, seolah-olah meragui perintah Nabi Musa.
Tuhan menjadikan perkara itu sukar kerana sikap degil mereka.
Lembu merah adalah sangat sukar diperoleh, manakala organisasi Bangsa Yahudi dikenali sebagai The Temple berusaha untuk persediaan membina Kuil Ketiga dengan mencari lembu tersebut yang memenuhi kriteria agama Yahudi.
Ini kerana lembu merah perlu dikorbankan menurut kepercayaan mereka untuk memulakan pembinaan Kuil Ketiga di Baitulmuqaddis.
Kuil Ketiga itu perlu untuk menunggu ketibaan Messiah (penyelamat) seperti kepercayaan Yahudi iaitu seorang raja Bani Israel daripada keturunan Nabi Daud.
Pada September 2022, lima lembu merah telah diimport dari Amerika Syarikat dan dipindahkan ke sebuah ladang pembiakan di Israel. Menurut
pemimpin-pemimpin agama Yahudi, lembu-lembu itu memenuhi semua kriteria untuk dikorbankan.
Berita tersebut sekiranya sahih, membayangkan satu lagi krisis menunggu umat Islam kerana semua persediaan untuk membina semula Haikal Sulaiman sudah lengkap, bermakna akan ada usaha untuk merobohkan masjid al-Aqsa sekali gus bakal mencetuskan pergolakan besar.
Menunggu lebih lama bukan pilihan baik untuk mereka kerana lembu seperti itu adalah sangat, sangat sukar untuk diperoleh.














