SEREMBAN – Sebanyak tiga ancaman bom palsu yang ditanam di tiga buah sekolah berasingan dikesan di negeri ini.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, laporan polis yang diterima melibatkan di daerah Seremban, Port Dickson dan Rembau.
Menurut beliau, ancaman tersebut telah dihantar melalui dua akaun emel iaitu [email protected], dan [email protected].
“Sejurus menerima laporan polis mengenai penerimaan emel ancaman bom tersebut, polis Negeri Sembilan mengarahkan pasukan Unit Pemusnah Bom Kontinjen Negeri Sembilan ke lokasi untuk menjalankan siasatan lanjut.
“Polis dengan kerjasama pihak bomba serta sekolah segera mengambil tindakan awal mengosongkan premis sementara siasatan dijalankan,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Ahmad Dzaffir berkata, hasil siasatan di tempat kejadian tidak menemui sebarang bom yang tertanam di tiga sekolah yang dinyatakan.
Katanya, emel tersebut adalah satu berita palsu yang mahu mendatangkan kegusaran kepada pihak sekolah dan ibu bapa. – KOSMO! ONLINE