Kecoh dalam media sosial mengenai kenyataan ‘Melayu malas’ ketika ini, lebih-lebih lagi perkataan itu dilontarkan oleh seorang usahawan wanita berjaya kelahiran Kemboja.
Menerusi video yang tular sejak beberapa hari lalu, wanita yang berstatus Pemastautin Tetap (PR) itu mengakui dia memang berasal Kemboja.
Katanya, orang Kemboja memang pandai berniaga serta rajin.
Namun, apa yang tidak enak didengar apabila wanita yang dianggarkan berusia separuh abad tersebut mula menyentuh mengenai sikap orang Melayu yang dilabel malas.
Secara peribadi, kenyataan ‘Melayu malas’ memberi tamparan hebat kepada orang Melayu seolah-olah menggambarkan semua masyarakat tersebut khususnya yang tinggal di Malaysia tidak suka bekerja atau goyang kaki.
Penulis tidak pasti apa tujuan wanita tersebut berkata demikian sama ada untuk membuat lawak, menaikkan motivasi orang Melayu atau membuat strategi pemasaran yang dipanggil bad marketing.
Namun, tanpa dia sedar kenyataan itu sebenarnya sudah mengguris hati ramai orang Melayu di negara ini.
Disebabkan kenyataan ‘Melayu malas’ itu, lebih 10 laporan polis dibuat terhadap wanita berkenaan yang mengusahakan perniagaan pakaian dan jahitan pukal di Johor.
Setakat semalam, wanita itu sudah membuat dua permohonan maaf termasuk yang terbaharu dipercayai ditujukan kepada institusi diraja.
Sayangnya nasi sudah menjadi bubur.
Polis juga mengesahkan sudah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Jadi sama-samalah kita tunggu hasil siasatan kes itu kelak.
Kenyataan ‘Melayu malas’ sebenarnya bukan kali pertama dibuat secara terbuka, malah sebelum ini ia pernah dilontarkan termasuk daripada pemimpin. Malah, isu ini turut dibincangkan secara serius menerusi wacana anjuran pelbagai pihak sebelum ini.
Ada yang berpandangan kenyataan ‘Melayu malas’ ini sengaja dimomokkan untuk melemahkan bangsa tersebut, namun hakikatnya kita dapat lihat ramai Melayu yang berjaya di pelbagai peringkat.
Sebagai negara majmuk yang mempunyai masyarakat berbilang kaum, etnik dan agama, membuat kenyataan secara terbuka dengan melabel satu-satu bangsa dengan sikap yang tidak elok wajar dielakkan.
Isu melibatkan bangsa (race), agama (religion) dan institusi diraja (royal) atau 3R perlu ditangani secara serius di semua peringkat.
Jika tidak dikawal sejak awal, ia akan menimbulkan suasana tidak harmoni dalam kalangan penduduk Malaysia, apatah lagi jika perkataan itu keluar daripada mulut orang asing.
Bagi penulis, sikap seseorang individu itu bukannya terletak pada bangsa atau agamanya, tetapi diri individu tersebut sendiri. Sikap yang baik kita jadikan ikutan, yang negatif jadikan sempadan.
















