NAMA Wafariena bukanlah asing lagi dalam industri seni. Dia pernah meledak dengan watak Nurul Ain menerusi naskhah 7 Hari Mencintaiku yang pernah menjadi fenomena hangat suatu ketika dahulu.
Sudah ampuh menapak dalam industri seni tanah air dengan sekian banyak peranan dimainkan dalam lebih 30 drama sepanjang tempoh lima tahun bergelar pelakon, kebolehan lakonan aktres jelita itu masih terus ditagih ramai.
Kendatipun, gemerlapan karier pemilik nama penuh Wafariena Roslan itu dikatakan kian malap apabila namanya bagaikan memudar dari radar industri hiburan apatah lagi dengan kehadiran lambakan pelakon baharu.
Tawaran bersusun
Didakwa ‘sendu’ atau tidak laku selepas lama tidak muncul di televisyen, pelakon dagu terbelah itu menegaskan, bukan tiada tawaran, sebaliknya kebanyakan drama dibintangi belum disiarkan.
Malah katanya, terlalu banyak tawaran yang disua sehingga dia tidak sempat mengambil cuti panjang demi memenuhi jadual penggambaran.
“Saya rasa kalau nak kata tiada job itu tidak benar sebab sepanjang lima tahun dalam bidang seni, saya terima pelbagai tawaran lakonan hingga tiada masa untuk bercuti.
“Kalau nak tahu saya cuma dapat cuti panjang ketika fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selain cuti sakit selama dua bulan akibat kecederaan ketika penggambaran sebuah drama tahun lalu.
“Selebihnya, saya ada di set penggambaran. Sebenarnya bukan tiada tawaran berlakon seperti didakwa ramai,” katanya.
Ditanya sama ada selektif memilih naskhah, aktres berusia 28 tahun itu berkata, dirinya akan mengambil semua tawaran, namun mengelak andai melibatkan adegan lasak.
Sebelum ini, Wafariena pernah cedera di bahagian tisu punggung dan luka di bahagian perut ketika melakonkan adegan aksi dan terpaksa dimasukkan ke hospital.

“Saya tidak memilih, tapi kalau ditawarkan berlakon untuk filem atau drama aksi yang memerlukan saya melakukan lagak ngeri, saya kena elak berikutan masalah di bahagian peranakan kesan kejadian terdahulu.
“Alhamdulillah sekarang ini semuanya sudah beransur pulih. Saya pun tidak mengalami sebarang kesan teruk, namun saya elakkan berlakon lasak.
“Kalau watak genre lain, saya okey sahaja sebab saya memang suka berlakon,” katanya.
Separuh dekad melakar nama dalam bidang lakonan, anak keempat daripada tujuh bersaudara itu tidak pernah menganggap dirinya hebat kerana masih banyak perkara yang perlu dipelajari.
Kena hormat pelakon senior
Tidak pernah mengetepikan pelakon senior setiap kali berada di lokasi penggambaran, Wafariena berkata, dia sebolehnya menegur setiap orang tidak kira pelakon, kru produksi mahupun pelakon tambahan.
“Pada awal permulaan karier saya sebagai pelakon, saya diajar untuk menegur semua orang di set penggambaran, selain beradab, tindakan tersebut merupakan salah satu cara pembawakan diri kita agar disenangi.
“Saya anggap semua yang berada di set adalah keluarga saya. Jadi, mahu atau tidak, saya perlu cipta keserasian dengan cepat supaya saya tidak menyusahkan mana-mana pihak ketika sesi penggambaran berlangsung.
“Walaupun saya agak pemalu dulu, tapi saya cabar diri dan buktikan saya boleh lakukan setiap babak yang perlu dibuat,” ujarnya serius.
Menyedari wujud segelintir pelakon baharu yang lebih gemar menyendiri ketika berada di set penggambaran, Wafariena bagaimanapun menasihatkan supaya mereka tidak berasa malu atau menganggap diri kerdil.
“Kebanyakan pelakon senior sangat peramah. Kadangkala mereka datang tegur saya dulu, lebih-lebih lagi kalau nampak saya sedang membaca skrip.
“Mereka akan datang lepak dan beri tunjuk ajar. Jadi, pelakon baharu jangan jauhkan diri daripada pelakon senior. Cuba selesakan diri dan bergaul dengan pelakon lama serta kru produksi di set.
“Kita sudah dewasa dan sepatutnya sudah pandai bawa diri.
“Jangan anggap diri terlalu kerdil sehingga terbit rasa janggal untuk bergaul, percayalah banyak ilmu dan pengalaman boleh ditimba daripada pelakon lama,” katanya.
Enggan terlalu larut dalam perihal kerjaya, sempat bertanya sama ada Wafariena kini sedang dilamun cinta kerana wajahnya begitu jelas terpancar emosi bahagia yang ingin dikongsikan kepada umum.
Intim dengan usahawan
Benar bagai disangka, pelakon Wafariena mengakui sedang bahagia menjalin hubungan istimewa dengan seorang lelaki yang juga ahli perniagaan.
Bagaimanapun, aktres tinggi lampai itu memilih untuk menyimpan kemas identiti si dia yang berjaya mencuri hatinya.
“Saya berkawan dengan semua orang, cuma sekarang saya rapat dengan seorang lelaki yang bukan orang dalam industri seni, sebaliknya lelaki biasa dan merupakan ahli perniagaan.
“Buat masa ini, saya juga tak dapat kongsikan lebih lanjut mengenai jejaka yang sedang saya kenali itu, apabila dah nak kahwin baru saya akan perkenalkan kepada umum.

“Kami sudah berkawan lebih setahun dan masing-masing serius dengan hubungan ini, insha-Allah jika jodoh kami panjang, maka hubungan ini akan dibawa ke peringkat seterusnya,” katanya tersipu malu.
Ditanya sama ada pernikahan dengan lelaki tersebut bakal berlangsung dalam waktu terdekat, aktres asal Pulau Pinang itu menafikan dan menyerah isu jodoh kepada Yang Maha Esa.
“Setiap wanita ingin melalui fasa bujang ke alam rumah tangga, namun apa yang boleh saya katakan, sasaran untuk berkahwin itu belum ada lagi.
“Perihal jodoh ini susah untuk diulas lanjut kerana perkara tersebut bukan di bawah kawalan kita.
“Jadi, saya serahkan perkara ini kepada Allah kerana Dialah sebaik-baik perancang.
“Saya sejujurnya agak kekok untuk berkongsi hal peribadi kerana merasakan biarlah hanya saya dan keluarga sahaja yang tahu.
“Risau banyak kemungkinan boleh terjadi, cukuplah setakat ini saya kongsikan,” ujar Wafariena menoktahkan soalan cinta seraya menutup bicara.














