fbpx
Sofia terjumpa seorang wanita misteri ketika tersesat di dalam hutan dan wanita berbaju kurung itu juga mendakwa dirinya telah tersesat. – Ilustrasi Shah Hasan

Tersesat di hutan bersama wanita misteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SOFIA (bukan nama sebenar) sememangnya tidak gemar dengan aktiviti lasak dan terdedah pada cuaca panas.

Namun atas tuntutan kredit kurikulum, dia terpaksa mengikuti program perkhemahan yang dianjurkan oleh sekolahnya.

Ketika anak gadis berketurunan Melayu-Cina itu tiba di lokasi perkhemahan di sebuah hutan di Mersing, Johor, ‘mood’ Sofia sentiasa dalam keadaan tidak baik.

Ada kalanya, hatinya mencemuh dan merungut dengan keadaan di dalam hutan yang disifatkan sebagai kotor.

Akui pelajar tingkatan lima itu, hatinya sentiasa berharap berada di kawasan percutian yang persis syurga dunia berbanding hutan itu.

“Tidak salah bila orang gelarkan saya sebagai ratu lilin sebab saya sememangnya tidak suka terdedah dengan panas.

“Inikan pula berlengas dan berpeluh di dalam hutan. Saya memang tak suka sungguh,” katanya kepada Panorama.

Ketika melakukan ekspedisi jungle trekking, Sofia dan rakan-rakannya berhenti sebentar di tepi sungai untuk merendam kaki sebelum meneruskan perjalanan.

Tiba-tiba, anak kedua daripada tiga beradik itu terdengar namanya sayup dipanggil oleh guru pengendali program.

Dalam fikiran Sofia, berkemungkinan guru tersebut mahu memberikannya pelepasan daripada melakukan aktiviti lasak seterusnya.

Ini kerana, dia telah membuat permohonan tersebut atas alasan mengalami senggugut yang agak teruk.

Anehnya, laluan ke arah suara itu sangat mudah dan tidak berliku seperti jalan dilalui mereka ketika jungle trekking.

Buat seketika, hati Sofia terdetik, mengapa mereka tidak melalui laluan tersebut lebih awal lagi?

Sebaliknya, mereka diberi laluan yang penuh belukar dan pokok-pokok tumbang.

“Jalan di hadapan saya sangat cantik. Ini membuatkan saya terus tertanya-tanya tentang apa yang ada di hadapan.

“Tidak sedetik pun saya terfikir tentang jarak. Saya terlalu terpesona dengan cantiknya laluan tersebut,” ujarnya.

Tiba-tiba Sofia terdengar suara wanita menangis di sebalik belukar yang tebal di depannya.

Alangkah terkejutnya Sofia apabila dia ternampak kelibat seorang wanita tampak berusia 40-an duduk seorang diri dalam keadaan tidak terurus.

Wanita itu memakai baju kurung yang sudah lusuh dan mengeluarkan bau kurang menyenangkan.

Tambah Sofia, dia aneh melihat wanita terbabit begitu, biarpun kawasan sekitarnya indah bagaikan syurga dunia.

“Saya keliru dengan situasi yang berlaku.Jadi, saya terus bertanyakan beberapa soalan kepada wanita itu. Rupanya dia sesat dekat tempat itu dan sampai sekarang dia masih belum jumpa jalan keluar,” ujarnya.

Mendengar kata-kata itu, Sofia terus menawarkan diri untuk melaporkan hal berkenaan dengan gurunya agar wanita tersebut boleh dibantu.

Namun, gadis itu baru tersedar bahawa dia sendiri sudah jauh dari lokasi guru dan rakan-rakannya, malah Sofia tidak ingat jalan balik.

Dalam keadaan panik, Sofia menangis membayangkan nasibnya sama dengan wanita misteri tersebut.

“Wanita berkenaan beritahu bahawa dia dipanggil ke kawasan itu kerana ingin membuat hajat agar dapat ke kawasan lebih baik berbanding hutan tersebut.

“Jadi, ‘penjaga’ hutan tunaikan hasrat itu. Saya juga rasa saya ‘dijemput’ atas sebab sama,” ujarnya.

Dalam keadaan terdesak, Sofia menjerit meminta bantuan, sementara wanita itu terus termenung. Namun, nasib menyebelahi Sofia apabila beberapa jam selepas itu dia terdengar laungan azan yang kuat dan mendayu-dayu.

Dengan segera dia terus berlari ke arah suara azan tersebut tanpa menoleh ke belakang.

Dia yakin, suara azan itu adalah laungan rakan-rakan yang sedang mencarinya.

Telahannya tepat apabila dia ternampak beberapa rakannya sedang menangis sambil ditenangkan oleh guru-guru.

Ujar Sofia, dia menceritakan pengalamannya bersama wanita misteri itu kepada guru dan rakan-rakan.

Namun, apabila mereka berpatah balik untuk pulang, Sofia dapati wanita itu sudah tiada dan kawasan berkenaan juga telah berubah menjadi hutan biasa.

“Ramai yang masih skeptikal dengan saya kerana ingat saya hanya memberi alasan untuk tidak terlibat aktiviti di dalam hutan.

“Hanya segelintir rakan baik yang menyuarakan kesyukuran atas peluang saya untuk kembali dengan selamat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN