PETALING JAYA – Kewujudan pelbagai aplikasi janji temu atau dating di media sosial membuka ruang kepada golongan remaja terutamanya pelajar sekolah untuk mencari ‘pasangan cinta’ dalam tempoh yang singkat.
Situasi itu bagaimanapun telah mendorong kepada perbuatan sosial melampau, malah mendedahkan remaja terutamanya perempuan yang berusia 15 hingga 17 tahun kepada lelaki berhidung belang.
Tinjauan Kosmo! Ahad mendapati, aplikasi tersebut menjadi sasaran pihak tidak bertanggungjawab mencari pasangan semata-mata untuk mencari pasangan, berseronok dan melampiaskan nafsu.
Malah, hanya dalam tempoh seminggu menggunakan aplikasi berkenaan, pemilik akaun boleh menerima ratusan mesej terutama daripada lelaki yang tidak dikenali.
Lelaki-lelaki ini ingin berkenalan atas pelbagai niat, sama ada untuk berkawan, mencari isteri atau teman wanita dan ada juga yang cuma inginkan pasangan untuk melakukan hubungan intim tanpa sebarang komitmen.
Lebih merisikokan apabila pengguna juga boleh membuat akaun dengan mudah, tanpa perlu menggunakan nama atau mendedahkan identiti sebenar.
Selain itu, pengguna juga bebas membuat panggilan telefon dan video serta berkongsi status melalui aplikasi tersebut.
Fitur yang disediakan oleh aplikasi tersebut membolehkan remaja berkomunikasi antara satu sama lain tanpa perlu menukar nombor telefon.
Seorang pengguna aplikasi berkenaan dikenali Najihah, 17, mengakui sudah ketagih dengan aplikasi tersebut sehingga banyak kali bertukar-tukar gambar lucah dengan lelaki yang tidak dikenali.
“Pada awalnya, saya rasa semuanya baik sahaja kerana lelaki dalam aplikasi tersebut berikan saya perhatian dan kadangkala beri duit belanja.
“Bagaimanapun, lama kelamaan saya akui menjadi ketagih sehingga berani menghantar mesej berbaur lucah, mungkin untuk menarik perhatian lelaki dan dalam masa yang sama saya mahu memuaskan nafsu sendiri,” katanya.
Menurut Najihah, aktivitinya berlarutan sehingga beberapa bulan sebelum dikesan oleh ibu bapanya.
“Ibu bapa saya agak sedih dan terkejut. Saya juga dibawa untuk menghadiri sesi kaunseling.
“Apabila saya sedar kesilapan saya, semuanya sudah terlambat. Hingga hari ini, masih ada lelaki daripada aplikasi tersebut yang menganggu walaupun saya tidak memberikan sebarang respons,” katanya.
Dalam pada itu, wartawan Kosmo! Ahad yang menyamar untuk menggunakan aplikasi itu telah berkenalan dengan Amir, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun.
Ketika wartawan menghubungi Amir, dia mengakui tidak pergi ke sekolah dan sedang berada di pusat beli-belah sekitar Kuala Lumpur. Malah, dia juga bersedia untuk berjumpa pada bila-bila masa.
Apabila ditanya mengenai kesudiannya untuk berkenalan, Amir mengakui lebih gemarkan wanita berusia kerana tidak banyak buat perangai dan mempunyai pendapatan sendiri.
“Amir juga tidak kisah untuk bercinta dengan wanita lebih tua kerana baginya usia hanyalah nombor semata-mata.
“Paling mengejutkan apabila hanya dalam masa sehari bertukar mesej, Amir sudah berani meminta wang sebanyak RM100 kononnya untuk membaiki motosikal yang rosak,” jelasnya.
Ketika wartawan Kosmo! Ahad menyamar sebagai Hafiz, 28, pula, hampir lima orang gadis bawah umur 17 tahun menghantar mesej menyatakan kesudian untuk menjadi adik angkat.
Sedangkan ketika menyamar sebagai Suraya, gadis berusia 17 tahun, seorang duda anak satu berusia 32 tahun pula tidak segan silu mengajak pulang untuk bermalam di rumah.
“Lelaki itu juga sanggup mengambil saya di sekolah walaupun saya menolak.
“Setelah ditolak, lelaki itu bersikap agresif dan mula menelefon saya berkali-kali meminta penjelasan walaupun baru sahaja berkenalan di aplikasi tersebut selama satu jam,” kata wartawan Kosmo! Ahad.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan, rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan sebanyak 11,650 kes berkaitan jenayah seksual melalui aplikasi janji temu telah dilaporkan dalam tempoh lima tahun sejak 2018 hingga 2022.
Ini bermakna, secara purata sebanyak enam kes jenayah seksual yang berpunca daripada perkenalan di media sosial dan aplikasi dating dilaporkan kepada polis setiap hari.














