KETUA jurulatih skuad hoki wanita negara, Nasihin Nubli Ibrahim percaya barisan pemainnya mampu segera menyesuaikan diri dengan faktor cuaca apabila beraksi pada Kelayakan Olimpik di Valencia, Sepanyol pada 15 Januari tahun depan.
Malaysian Tigress yang menghuni ranking ke-28 dunia, akan menghadapi ujian getir menentang Britain (No.7), Sepanyol (No.8) dan Kanada (No.16) dalam Kumpulan B di Valencia nanti untuk merebut tiket ke Olimpik Paris 2024.
Tugasan itu dilihat begitu mencabar memandangkan ini adalah kali pertama majoriti pemain wanita akan merasai pengalaman baharu beraksi di Eropah dengan keadaan cuaca dan waktu masa yang begitu berbeza berbanding Malaysia.
“Memang satu cabaran untuk saya tetapi pemain pernah didedahkan bermain dalam cuaca sejuk semasa ke China untuk persediaan sebelum ke Sukan SEA tahun ini.
“Di Australia pun sama, kita ke sana persediaan sebelum ke Sukan Asia Hangzhou. Ketika itu bukan sahaja sejuk tetapi kita turut bermain di sebelah malam.
“Jadi saya tak rasa ada banyak sangat masalah dan perbezaan masa pun saya rasa kita boleh sesuaikan diri bila sampai sana. Saya rasa itu perkara kecil yang kita boleh selesaikan,” kata Nasihin.
Nasihin boleh mengharapkan pemain-pemain senior yang berpengalaman luas beraksi di Eropah seperti kapten, Juliani Mohamad Din, Nuraini Abdul Rashid, Hanis Nadiah Onn, Raja Norsharina Raja Shahabuddin dan Wan Norfaeizah Md. Saiuti.
Tiga tiket menjadi rebutan lapan pasukan di Valencia untuk layak ke Paris 2024 termasuk empat daripada Kumpulan A iaitu ranking keempat dunia, Belgium, Korea Selatan (No.12), Ireland (No.13) dan Ukraine (No.28).