ARENA hiburan tempatan kecoh seketika apabila muncul gosip seorang selebriti wanita berkulit putih gebu yang gemar tayang gaya hidup mewah berada di bawah radar siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA).
Dalam laman sembang yang memfokus hal selebriti, perkara itu menjadi topik perbincangan hangat sehingga tercetus pelbagai tekaan berpandukan kepada pembayang utama, artis, gebu, putih, kaya.
Bagai mahu menjadi peserta pertama melengkapkan puzzle puaka, maka dipetik nama beberapa individu yang didakwa menepati ciri dimaksudkan pencetus gosip.
Antara barisan pelakon yang disebut-sebut mempunyai kaitan dengan isu AMLA itu adalah Daiyan Trisha, Ruhainies dan Fara Mendoza.
Masing-masing sudah memberikan penjelasan tiada kaitan dengan hal disebarkan, membuatkan masih ada dalam kalangan pemerhati tetap meneruskan misi siasatan.
Bukan tiada individu dari lapangan lain yang terjerat dengan imbuhan wang segera, cuma apabila membabitkan personaliti tersohor, darjah keterujaan netizen lebih membuak-buak untuk mengetahui pelakunya.
Bagi Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi, isu AMLA ini hakikatnya berpotensi memerangkap semua orang bukan sahaja artis, malah golongan popular lebih mudah dijadikan mangsa hanya kerana gaya hidup mereka.
Malah katanya, untuk menuduh kebanyakan selebriti bertaraf jutawan bertopengkan perniagaan ‘cuci duit’ adalah satu tanggapan melulu tanpa melihat kesukaran dilalui untuk meraih kesenangan.
Zed tidak menafikan perincian mengenai latar belakang pihak yang menawarkan usahasama dalam bisnes mahu pun menyediakan modal memulakan perniagaan mampu mengelakkan artis mahu pun orang ramai daripada terjebak.
“Memang diakui ada individu tidak sedar digula-gulakan pihak tidak bertanggungjawab kononnya mahu menjadikan mereka sebagai rakan kongsi, sedangkan hakikatnya menjurus kepada konspirasi ‘cuci duit’.
“Bagi mengelakkan terpedaya, lebih baik siasat dulu latar belakang pihak yang mengajukan tawaran supaya kita tidak mudah termakan hasil wang panas.
“Saya pun tak pasti kalau individu yang sudah termasuk perangkap itu tahu situasi sebenar atau dari mana sumber wang itu. Jangan tamak, bimbang sikap rakus memakan diri,” katanya.
Menurut Zed, penggiat seni juga perlu lebih berwaspada kerana era masa kini memudahkan pihak berkaitan mendekati serta menawarkan sesuatu kepada mereka hanya menerusi laman sosial.
“Dulu susah nak hubungi artis, kena melalui pengurus atau syarikat rakaman. Sekarang ramai gunakan media sosial, buat live dan dari situ, mereka mudah dijadikan sasaran,” ujarnya.














