MELAKA – Tindakan melampau sebuah sekolah tahfiz haram mengeksploitasi pelajar untuk mengutip derma dengan membuat persembahan qasidah dan menjual keropok di tepi pantai terkenal sejak setahun lalu terbongkar apabila diserbu pihak berkuasa baru-baru ini.
Serbuan pada pukul 9 malam itu dapat menyelamatkan sembilan pelajar berusia antara sembilan hingga 15 tahun yang dipergunakan untuk memungut sedekah untuk pusat tahfiz berkenaan.
Difahamkan, kawasan pantai terkenal itu sering menjadi lokasi kanak-kanak menjaja kerepek, buah potong dan makanan kering yang didalangi oleh ahli keluarga sendiri dan pihak ketiga bagi meraih simpati atas alasan membantu keluarga mencari wang.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka, Zulkifli Hanafiah berkata, serbuan mengejut itu dilakukan selepas pihaknya menerima banyak aduan mengenai kegiatan mengeksploitasi kanak-kanak hingga mengganggu pengunjung.
Katanya, siasatan mendapati enam daripada sembilan kanak-kanak itu merupakan pelajar sebuah pusat tahfiz dan dibawa ke situ oleh lelaki bergelar ustaz berusia 34 tahun untuk membuat persembahan qasidah di kaki lima pada setiap Selasa hingga Ahad.
“Kanak-kanak itu hanya berehat pada Isnin sahaja manakala enam hari lagi digunakan oleh lelaki tersebut untuk membuat persembahan antara tujuh hingga sembilan jam bermula pukul 2 petang. Pengajian ilmu agama hanya pada waktu pagi hingga tengah hari.
“Pelajar mendakwa mereka berqasidah di dua lokasi dan memperoleh antara RM150 hingga RM200 semalam. Tiga pelajar itu merupakan adik-beradik dan anak ustaz tersebut,” katanya kepada Kosmo!.
Menurut Zulkifli, soal siasat mendapati ustaz berkenaan mengaku telah meminta anak dan pelajarnya berqasidah bagi mencari wang perbelanjaan harian sejak setahun lalu.
Tambahnya, pusat tahfiz berskala kecil itu tidak didaftarkan di bawah Jabatan Agama Islam Melaka, namun ustaz itu mendakwa kegiatan itu berada di dalam pengetahuan ibu bapa pelajar.
“Ketika serbuan, ustaz itu merayu supaya kanak-kanak itu dilepaskan, namun perbuatan itu sangat melampau kerana mengeksploitasi pelajar apatah lagi membuat persembahan di tepi jalan,” katanya.
Menurut Zulkifli, tindakan ibu bapa atau penjaga membenarkan, menyuruh, membiarkan, memaksa kanak-kanak mengemis, menerima sedekah atau menjalankan penjajaan adalah salah mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.
“Pihak terlibat boleh dikenakan hukuman penjara lima tahun dan denda RM20,000 jika sabit kesalahan,” katanya.
Sementara itu, Zulkifli memberitahu, pihaknya turut menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang didapati menjaja keropok di lokasi sama bersendirian tanpa pengawasan ibu bapa.
“Bila kita tanya ibunya, dia memberitahu anaknya ingin membantu keluarga mencari wang sementara dia dan suami mengambil upah menjaga sewaan permainan kanak-kanak di situ,” katanya.
Sehubungan itu, JKM akan memohon hak penjagaan sementara terhadap semua kanak-kanak itu di mahkamah sekiranya penjaga gagal membuktikan kebenaran di atas segala dakwaan mereka kepada pihak berkuasa.
















