fbpx
GOLONGAN pelajar turut terkesan sekiranya masalah kekurangan tenaga pengajar tidak diatasi dengan segera. – GAMBAR HIASAN

Guru tertekan, prestasi murid merosot

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Tahap pembelajaran dalam kalangan pelajar di sekolah dikhuatiri akan merosot sekiranya masalah kekurangan guru terutama bagi subjek bahasa Inggeris dan Matematik tidak diatasi segera.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang berkata, selain murid, bebanan guru juga meningkat kerana terpaksa mengambil alih tugasan tenaga pengajar yang masih belum diganti.

“Di sekolah, kelas akan menjadi kurang berkualiti kerana pelajar tidak diajar oleh guru-guru yang sepatutnya. Misalnya subjek bahasa Inggeris diajar secara ganti oleh guru bukan opsyen subjek tersebut.

“Guru-guru tidak terlibat de­ngan subjek itu juga selain menjalankan tanggungjawab sedia ada, mereka perlu ambil alih tugasan guru lain yang masih kosong.

“Perkara seperti ini sebenar_nya membuka ruang untuk lebih ramai guru bersara awal akibat tekanan kerja,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Mengulas lanjut, Aminuddin memberitahu, pengisian jawatan 9,552 graduan pendidikan yang diumumkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan kelmarin masih belum mampu mengatasi masalah kekurangan guru ketika ini.

“Walau bagaimanapun, ia merupakan langkah yang dihargai NUTP dalam mengurangkan masalah kekurangan guru. Kekosongan guru ketika ini adalah seramai 20, 863 orang

“Pelantikan guru ini bukan dibuat Kementerian Pendidikan, tetapi SPP (Suruhanjaya Perkhid­matan Pelajaran). Hendak buat pengambilan, ia berkait rapat dengan waran perjawatan dan peruntukan kewangan untuk membayar gaji guru-guru yang dilantik.

“Jadi, kerajaan perlu ada peruntukan khusus untuk pengambilan khas guru-guru bagi mengatasi masalah kekurangan tenaga pengajar ini,” katanya.

Kosmo! semalam melaporkan mengenai keluhan ibu bapa yang risau pelajaran anak mereka terjejas kerana guru yang tidak mencukupi di sekolah ketika ini.

Kelmarin, kementerian Pendidikan mengumumkan seramai 9,552 graduan pendidikan ditawarkan jawatan guru Gred DG41 bagi pengambilan tahun ini yang mana keputusannya boleh diketahui semalam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN