PETALING JAYA – “Gaji saya cuma RM3,000 sebulan, duit simpanan memang tidak pernah ‘lekat’, lebih-lebih lagi tinggal di bandar besar dan mempunyai empat anak.”
Itu antara jawapan yang diberikan pekerja swasta, Salim Muhammad, 41, berhubung kesukaran untuk membuat simpanan kecemasan walaupun serendah RM1,000.
Menurut lelaki itu, kos perbelanjaan dan komitmen bulanan sebanyak RM2,800 menyebabkan dia tidak dapat membuat simpanan untuk digunakan ketika waktu mendesak.
“Setiap bulan bayar sewa rumah, jelaskan bil, beli barangan keperluan dan perbelanjaan persekolahan anak-anak.
“Itu tidak termasuk kos petrol dan tol ulang-alik ke tempat kerja. Kadang-kadang saya mengakui terpaksa mengikat perut, asalkan anak-anak dapat makanan yang mencukupi,” katanya kepada Kosmo!.
Jelas Salim, dia sedar akan kepentingan membuat tabungan, namun ia tidak semudah yang disangka terutama bagi mereka yang berpendapatan rendah sepertinya.
“Bukan tidak pernah cuba untuk menyimpan, tapi sukar. Tambahan pula harga barangan naik. Ada masa berlaku hal kecemasan seperti kereta rosak, paip bocor dan anak-anak perlu menyertai aktiviti di sekolah.
“Saya lakukan kerja sampingan untuk tampung perbelanjaan, tetapi tidak selalu sebab kerja hakiki sudah memenatkan,” kongsinya.
Sementara itu, lepasan universiti, Hanim Razlan, 23, berkata, kos sara hidup di Lembah Klang sangat tinggi sekali gus menyukarkan dia untuk membuat simpanan walaupun gaji diterima RM2,500 sebulan.
“Saya perlu jelaskan bayaran ansuran kereta sebanyak RM400, kos makan setiap hari dan sewa rumah. Nak masak setiap hari tidak sempat, balik rumah sudah malam esok perlu keluar awal pagi,” ujarnya.
Tinjauan Kosmo! di media sosial juga mendapati rata-rata orang ramai bersetuju dan mengakui gaji ‘cukup-cukup makan’ menjadi punca mereka tidak mempunyai duit simpanan walaupun RM1,000.
“Bukan tak nak menyimpan, gaji cukup-cukup makan sahaja. Gaji ciput (kecil),” kata Zakaria Elias.
“Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Malam tidak ada,” ujar Ramzi Morad.
“Komitmen tinggi, gaji cukup-cukup ja,” kata Muhamad Hafiz.
“Pembetulan, hampir semua (tidak ada simpanan RM1,000),” ujar Nizal Ahmad.
Kelmarin Kosmo! Online melaporkan Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour memaklumkan hampir separuh rakyat Malaysia sukar menyediakan wang RM1,000 bagi tujuan kecemasan.
Berdasarkan kaji selidik Rangkuman dan Keupayaan Kewangan yang dijalankan sejak 2015 juga mendapati satu daripada tiga rakyat Malaysia tidak berminat untuk ambil tahu mengenai insurans dan takaful.
Jelasnya, kaji selidik berkenaan menunjukkan peningkatan yang konsisten dalam tahap pengetahuan kewangan rakyat Malaysia sejak 2015.
Walau bagaimanapun menurutnya, apa yang membimbangkan ialah peningkatan pengetahuan dalam kalangan rakyat Malaysia masih tidak seiring dengan sikap dan amalan pengurusan kewangan mereka.














