PETALING JAYA – Orang ramai mengakui mereka lebih gemar makan di rumah berbanding di kafe atau restoran pada masa ini ekoran kenaikan kos sara hidup dan langkah berjimat cermat.
Rata-rata mereka mengakui terpaksa mengurangkan kekerapan makan di luar selain ada antaranya yang sudah lama tidak ‘menjejakkan kaki’ ke restoran dan memilih masak di rumah.
Seorang pengguna Nazira Mohd. berkata, dia sudah tiga bulan tidak makan di restoran, malah suaminya juga membawa bekal ke pejabat setiap hari.
“Setiap hari masak, pagi buat sarapan dan bekal suami bekerja dan kemudian masak untuk makan tengah hari dan malam. Alhamdulillah jimat banyak,” katanya.
Bagi Amin Man, dia memilih untuk mengubah rutin harian makan tengah hari dengan membawa bekal ke tempat kerja dan dapat berjimat RM20 sehari.
Luahan sama disuarakan Jhazz Hazzmie yang memberitahu, dalam usaha menangani kos sara hidup, isterinya yang rajin memasak akan menyediakan bekal untuk setiap hari.
“Kami jarang makan di luar, kalau ada pun hujung minggu. Isteri rajin dan ada masa masak walaupun bekerja. Puas makan di rumah dan selesa,” katanya.
Sementara itu, seorang pengguna Facebook dikenali sebagai Zulkifeli mengakui, harga makan di luar lebih mahal berbanding masak di rumah, bahkan boleh mencecah belasan ringgit untuk semangkuk sup.
“Saya lebih suka makan masakan sendiri. Makan di luar sangat mahal, contohnya sup tulang atau sup ekor harga berbelas ringgit semangkuk hanya tiga atau empat ketul. Sedangkan dengan duit RM10, kita dah boleh masak untuk tiga orang,” ujarnya.
Berbeza dengan Laila Madani, dia tidak makan di kedai atau restoran sejak berumah tangga dan mengakui, langkah tersebut menjimatkan perbelanjaan mereka sekeluarga.
“Saya dari mula kahwin tidak pernah makan di luar, dapur sentiasa ‘berasap’ tidak kira waktu. Nak balik kampung pun siap bekal sepanjang perjalanan.
“Masa bujang dulu, saya kerja ada duit sendiri. Kadang-kadang waktu gaji pergi makan di kedai. Bila dah kahwin, suami tak bagi saya kerja dan harap gaji suami, sesuaikan untuk keperluan harian,” katanya yang telah berumah tangga kira-kira 20 tahun.
Kosmo! pada Khamis lalu melaporkan orang ramai yang dahulunya mampu membawa ahli keluarga menikmati makanan di restoran dan kafe dua kali seminggu kini terpaksa mengurangkan amalan berkenaan akibat kenaikan kos sara hidup.
Rata-rata mereka hanya berupaya makan di kafe atau restoran dua kali sebulan dan sekadar memesan makanan dan minuman yang murah.
Situasi itu menyebabkan pendapatan sebahagian besar peniaga makanan dan minuman (F&B) kini merosot lebih 30 peratus.














