KUALA LUMPUR – Sindiket penipuan dalam talian sanggup menyewa unit penthouse di ibu negara dengan bayaran RM15,000 sebulan hanya untuk dijadikan calling centre bagi mengaut keuntungan mencecah jutaan ringgit.
Selain mempunyai akses yang ketat untuk ke unit tersebut, sindiket juga lebih berminat menyewa kondominium mewah yang berdekatan dengan pusat membeli-belah selain mempunyai kemudahan awam dan liputan internet yang baik.
Mendedahkan perkara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, sindiket penipuan itu tidak mempunyai masalah untuk membayar sewa yang tinggi memandangkan keuntungan yang diraih mereka mampu mencapai jutaan ringgit.
“Soal bayaran sewa tidak menjadi masalah asalkan mereka dapat mengoperasikan kegiatan itu di ibu negara.
“Paling penting lokasi itu (kondo) perlu mempunyai akses yang ketat untuk ke unit tersebut bagi mengelak kegiatan mereka dikesan,” katanya kepada Kosmo! kelmarin.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan mengenai pendedahan polis Kuala Lumpur yang mana kondominium mewah di ibu negara telah dijadikan sebagai calling centre bagi sindiket untuk melindungi jenayah mereka.

Ia susulan beberapa siri serbuan yang dilakukan dalam tempoh dua bulan yang mendapati majoriti sindiket penipuan tersebut beroperasi di kondominium ternama di Kuala Lumpur.
Menurut Allaudeen, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan terdapat penglibatan pengawal keselamatan di kondominium mewah di sekitar ibu negara yang bersengkongkol dengan sindiket penipuan dalam talian.
Beliau berkata, keuntungan yang dihasilkan oleh sindiket ini adalah berlipat kali ganda meskipun mereka hanya beroperasi bagi tempoh beberapa bulan.
“Sindiket penipuan pelaburan mencatatkan keuntungan tertinggi dengan jumlah RM50.54 juta bagi tempoh Januari 2023 hingga September 2023.
“Penipuan membabitkan love scam pula mencatatkan kerugian RM5.19 juta, manakala tipu tawaran kerja RM28.13 juta.
“Ini menunjukkan bahawa kes pelaburan mendatangkan kemudaratan yang lebih kepada mangsa dan secara tidak langsung membawa keuntungan pada sindiket,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan agar pemilik kondominium mewah agar lebih berhati-hati dan tidak menyewakan premis mereka beserta kemudahan internet kepada sindiket.
“Kemudahan tersebut dikhuatiri akan disalahgunakan bagi tujuan penipuan dan sebagainya,” katanya.
Untuk rekod, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur menjalankan 1,311 serbuan membabitkan jenayah dalam talian sejak Januari hingga September lalu.
Daripada jumlah itu, seramai 855 individu ditahan dengan 10 sudah dituduh di mahkamah, manakala selebihnya masih dalam siasatan.
Sebanyak 71 kertas siasatan dibuka membabitkan serbuan ke pusat panggilan sepanjang tempoh berkenaan.














