KOTA BHARU – Seorang peniaga dan keluarganya tinggal sehelai sepinggang selepas sebuah rumah di Kampung Pulau Melaka di sini petang tadi terbakar akibat salah seorang adik mereka yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) mental memasak di dapur.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.20 petang itu, OKU berkenaan, Mohd. Zamri Awang, 49, berada di kediaman tersebut seorang diri sebelum rumah itu hangus dijilat api.
Abang mangsa, Rosni Ghani, 62, berkata, Mohd. Zamri dipercayai sedang memasak di rumah itu manakala seorang lagi adiknya, Zamani, 53, tiada di rumah kerana berniaga di Tunjong di sini.
Menurutnya, dia mengetahui kejadian itu selepas dihubungi Zamani sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
“Ketika saya sampai, Mohd. Zamri sudah tiada di rumah selepas diselamatkan oleh penduduk kampung semasa api sedang marak.
“Adik saya bernasib baik kerana sempat diselamatkan oleh penduduk daripada terperangkap dalam kebakaran itu,” katanya ketika ditemui Kosmo! petang tadi.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Zukeri Shafei berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 4.25 petang sebelum lima jentera dengan kekuatan 19 anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, api berjaya dikawal 15 minit kemudian daripada merebak ke rumah jiran mangsa.
Tambahnya, punca kebakaran dan kerugian yang dialami mangsa masih dalam siasatan. – KOSMO! ONLINE