TAMPIN – Perbuatan si suami berkahwin dua yang mengundang rasa amarah seorang wanita bagaikan reda apabila lelaki itu meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 53, Jalan Tampin-Gemas berhampiran Felda Sungai Kelamah di sini kelmarin.
Kejadian pada pukul 7.13 malam itu mengakibatkan Jamaludin Alias Isa, 45, meninggal dunia di lokasi kemalangan.
Sharifah Shiek Aman, 45, berkata, dia reda dan sudah memaafkan arwah di atas segala yang berlaku dalam perhubungan mereka sejak enam tahun lalu.
“Sebagai isteri, saya tak dapat terima apabila suami berkahwin dua apatah lagi dia bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah kuari dengan pendapatan RM1,500.
“Bagaimanapun, dia tidak pernah mengabaikan keperluan enam orang anak kami berusia lima hingga 26 tahun. Dia seorang bapa yang baik kepada anak-anaknya,” katanya ketika ditemui di Hospital Tampin di sini semalam.
Menurut Sharifah, suaminya dalam perjalanan ke tempat kerja di Gemencheh dari rumah isteri keduanya yang bekerja sebagai tukang masak di Kem Syed Sirajuddin Gemas.
Tambahnya, arwah suaminya berkahwin dua sejak enam tahun lalu dan lelaki itu sepatutnya pulang ke rumahnya kerana gilirannya tiba hari ini.
“Kenderaan dipandu suami baru dibeli daripada kawan kerana Proton Iswara yang sering digunakan rosak. Dia sepatutnya menyelesaikan perkara itu hari ini (semalam),” katanya.
Ujar Sharifah, suaminya suka menyendiri serta tidak banyak bercakap kebelakangan ini dan berniat untuk meminta bantuan untuk empat anak-anak yang masih bersekolah.
“Dia seorang yang tenang dan sebagai isteri saya hanya ingin mengingati perkara yang baik tentangnya sepanjang membesarkan anak dan perasaan sayang padanya masih sama,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab. Wahab berkata, selain Jamaludin, kemalangan itu turut mengakibatkan anggota tentera, Sarjan Sofia Jamali, 32, maut.
“Kemalangan itu melibatkan dua buah kereta jenis Perodua Kancil dan Proton Iswara. Siasatan mendapati, kereta Perodua Kancil dipandu Sofia yang dalam perjalanan dari Tampin ke Gemas telah hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung Proton Iswara dinaiki Jamaludin,” katanya.
Menurut Anuwal, sebuah kereta Perodua Kancil lain telah melanggar belakang Proton Iswara.
Sehubungan itu, Anuwal meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi polis Tampin di talian 06-441 2502 atau 06-443 1999 bagi membantu siasatan.














