fbpx
ALYPH berpegang prinsip, lirik lagu harus ada mesej, kaya simbolik.

Alyph ‘pangkah’ lirik lucah demi viral

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DUNIA hip-hop dan rap sentiasa dikaitkan dengan sikap kasar, bahan terlarang, gaya hidup bebas dan tabiat negatif lain yang menjadi stigma masyarakat.

Luahan lantang, terutama oleh pencipta lagu rap antarabangsa yang menyalurkan perasaan menerusi seni kata keras dan lucah secara terbuka tanpa berlapik tambah membentuk tanggapan negatif khalayak.

Namun, bagi pejuang hip-hop rap asal Singapura, Alyph, sejak menceburi arena muzik 18 tahun lalu, prinsip dibawa yang menjunjung adab bangsa Melayu tetap kental dipertahankan.

Pemilik nama sebenar Muhammad Alif Abdullah itu mengaku, dia cukup berhati-hati menghasilkan lirik kerana menganggap itulah amanah sebagai seorang pengkarya.

ALYPH akui bukan mudah untuk mengikis nama Sleeq yang menjadi titik awal kerjaya nyanyiannya.

Tanggungjawab berkarya

Dia faham muzik mudah meresap dalam sanubari pendengar era digital, terutama kanak-kanak.
Alyph tidak mahu golongan kanak-kanak terjebak dengan lirik yang bukan-bukan berikutan golongan tersebut kini mempunyai akses mudah memasuki dunia digital, terutama TikTok yang cukup popular dalam kalangan generasi muda.

“Sebenarnya pengkarya Barat lebih terbuka. Mereka menulis apa saja demi menyuarakan isi hati atau rasa tidak puas terhadap sesuatu.

“Kita di sini lebih selesa menggunakan metafora bagi meluahkan sesuatu pandangan supaya tidak keterlaluan kerana anak seni menjadi idola kepada pendengar, khususnya golongan muda.

“Secara peribadi, saya masih berpegang kepada pinsip gunakan lirik yang diterima ramai kerana tanpa perkataan kasar atau lucah pun maksud tetap sampai,” katanya.

Ditanya mengenai teman seangkatan lain yang lebih berani menyampaikan lagu bersama lirik sensasi dengan alasan kebebasan berkarya, katanya, pendekatan sebegitu terpulang kepada pilihan masing-masing.

FENOMENA Swipe melebarkan dominasi Alyph sebagai antara penyanyi rap unggul, namun pada masa sama memberi cabaran lebih besar memastikan setiap dendangannya terus relevan tanpa suntikan lirik ‘melampau’.

“Sekiranya penulis itu jujur nak sampaikan mesej lagu sehingga terpaksa menyelitkan lirik berbaur lucah supaya pendengar lebih terkesan, saya rasa perlu.

“Jika diubah, risau mesejnya tidak sampai melainkan tujuan penulis itu sengaja menggunakan lirik lucah untuk tujuan viral, itu saya tidak sokong.

“Kalau nak buat orang marah atau netizen komen, benda itu saya tidak suka, itu menjatuhkan nama hip-hop dan rap. Kami komuniti hip-hop ‘pangkah’ penulis lirik sebegitu,” ujarnya dengan tegas.

ISU lirik lagu rap berbaur lucah disifatkan Alyph sebagai pendekatan peribadi sesetengah komposer dan penulis lirik. Cara sebegitu tidak mewakili semua penggiat muzik hip-hop.

Lagu gambaran realiti

Diminta mengulas lagu kontroversi Malampagi nyanyian Saixse yang sempat menuai sensasi, Alyph mengakui, itulah hakikat menggambarkan realiti kehidupan masyarakat kini.

“Dari sudut realiti, tipu kalau katakan kita tiada kawan yang melalui kehidupan seperti digambarkan dalam lagu tersebut.

“Memang dari segi agama tidak sesuai dan boleh buat orang kurang selesa tetapi bagi sudut pengkarya, mereka ketengahkan realiti,” tambahnya.

Enggan terlampau fokus terhadap pihak lain, Alyph mengalihkan perbualan tentang perkembangannya beraksi di Jakarta dan Medan, Indonesia bulan lalu.

Dalam nada teruja, penghibur yang tampil bersama single berjudul Heat itu mendedahkan, pendengar muzik di seberang sangat memberangsangkan.

“Alhamdulillah, kehadiran saya disambut dengan tangan terbuka, malah ramai yang meminta saya bawakan lagu Swipe di setiap lokasi persinggahan.

“Selain mempertaruhkan Heat, Swipe yang turut menjadi fenomena dan viral dalam TikTok menjadi batu loncatan untuk saya menembusi pasaran luar.

“Tetapi saya enggan terlampau selesa, ini semua adalah berkat sokongan padu peminat yang sentiasa menjadi sumber inspirasi dan penyuntik semangat.

“Ada juga yang tanya apa formula sehingga Swipe jadi fenomena, saya pun tiada jawapan dan anggap itu rezeki,” katanya sambil tersenyum.

DITERIMA baik di Indonesia merupakan satu langkah permulaan buat penyanyi kelahiran Singapura, Alyph menembusi pasaran antarabangsa.

Heat suntik semangat

Berbalik tentang penghasilan Heat yang ditulis sendiri, penyanyi berusia 34 tahun itu mengakui, single tersebut membakar semangat sebelum memulakan kerja atau aktiviti lain.

“Heat tentang mencari tenaga selepas berehat untuk seketika dan ini perkara biasa yang saya buat setiap kali mahu bekerja atau melakukan sesuatu.

“Saya perlu diberikan semangat untuk bersiap sedia termasuk dari segi mental untuk melalui hari tersebut dengan lebih berkeyakinan.

“Walaupun tajuknya mungkin menggambarkan sesuatu yang panas, lagu ini lebih kepada aura positif yang membayangkan kehangatan,” dedahnya mengenai karya yang baru dilancarkan bulan lalu itu.

Menurut Alyph lagi, Heat adalah single keduanya untuk 2023, namun selepas ini bakal menyusul beberapa naskhah lain yang masih dalam pembikinan.

LEDAKAN Swipe yang menjadi siulan peminat dan artis antarabangsa menyerlahkan lagi nama Alyph sebagai pemuzik rap berpengaruh.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN