fbpx
Gambar hiasan

Tiap seorang daripada empat remaja alami kemurungan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Trend pemasalahan kesihatan mental menunjukkan peningkatan terutama bagi golongan kanak-kanak dan remaja di negara ini.

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) menunjukkan satu dalam empat remaja mengalami gejala kemurungan pada tahun lalu berbanding satu dalam lima remaja mengalami gejala kemurungan pada 2019.

Katanya, stigma dan diskriminasi terhadap kesihatan mental adalah antara cabaran utama yang menjadi penghalang kepada akses terhadap rawatan dan penjagaan kesihatan mental yang baik.

“Persepsi negatif ini perlulah dihentikan. Individu yang mempunyai masalah kesihatan mental perlulah digalakkan untuk mendapatkan rawatan sama seperti penyakit fizikal yang lain,” katanya dalam kenyataan sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia di sini, hari ini.

Jelasnya, peranan ahli keluarga dan masyarakat setempat juga amat penting dalam menyokong, menggalakkan serta membantu individu yang mempunyai masalah kesihatan mental untuk mendapatkan bantuan dan rawatan profesional yang sewajarnya.

“Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) juga turut memainkan peranan penting melalui aktiviti promosi kesihatan mental di peringkat komuniti bagi meningkatkan tahap literasi kesihatan mental masyarakat.

“Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus mengukuhkan akses kepada perkhidmatan kesihatan mental yang berkualiti,” ujarnya.

Zaliha berkata, melalui penubuhan Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH), KKM telah mewujudkan Talian Bantuan Krisis Kesihatan Mental iaitu Talian HEAL 15555 bagi meningkatkan akses kepada masyarakat bagi perkhidmatan bantuan sokongan kesihatan mental dan tele kaunseling.

Katanya, statistik panggilan yang diterima setelah hampir setahun beroperasi adalah sebanyak 26,139 panggilan di mana daripada jumlah ini, sebanyak 16,942 iaitu (65 peratus) klien menerima bantuan sokongan emosi manakala 9,197 (35 peratus) klien menerima intervensi khusus oleh Pegawai Psikologi Kaunseling.

Tambahnya, KKM turut bekerjasama rapat dengan agensi kerajaan, swasta, NGO dan pemimpin masyarakat dalam merancang dasar serta pembangunan program di samping pelaksanaan program advokasi kesihatan mental di peringkat komuniti.

“KKM akan terus komited untuk memberi perkhidmatan kesihatan mental yang terbaik kepada segenap lapisan masyarakat.

“Halatuju perkhidmatan kesihatan mental negara seterusnya akan turut dipertingkatkan melalui pendekatan platform digitalisasi.

“Usaha secara bersepadu ini perlu digalas oleh semua pihak ke arah menoktahkan stigma terhadap individu yang mempunyai masalah atau penyakit mental,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN