fbpx
KESAN kemusnahan di bandar Ashkelon, Israel akibat bedilan roket Hamas pada Ahad lalu. – AFP

Konflik Palestin-Israel: Ditindas tujuh dekad punca Hamas bangkit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Tindakan Hamas menyerang tanah jajahan Israel dilihat sebagai serangan balik selepas lebih tujuh dekad hak Palestin dinafikan selain rakyat­nya diseksa dengan perbuatan tidak berperikemanusian rejim Zionis.

Pengarah Institut Kecemerlangan Pengajian Baitul Maqdis, Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr. Aminurraasyid Yatiban berkata, negara-negara Barat yang lantang mengecam serangan Hamas perlu juga melihat dan mengkaji semula titik kepada permulaan pergelutan ini.

“Setiap hari ada pengusiran serta kekejaman yang dilakukan entiti Zionis terhadap ­rakyat ­Palestin, namun mengapa mereka tidak melihat perkara itu sebelum ini? Apabila Hamas menjalankan serangan mengejut, mereka labelkan ia sebagai tindakan keganasan.

“Hamas memikul tanggungjawab untuk mengetuai Palestin yang mana ia menandakan tindak balas terhadap penindasan selama lebih tujuh dekad terhadap rakyat Palestin,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Aminurraasyid menegaskan, pendekatan serta operasi mengejut Hamas sejak pagi Ahad itu bakal merangsang kebangkitan menyeluruh Palestin yang bermula dari Gaza.

“Mungkin ada beberapa tuntutan bakal diutarakan termasuk tuntutan pembebasan pejuang dan ahli keluarga yang dipenjara serta tanah yang dijajah oleh Israel.

“Rundingan kawasan yang direbut oleh Zionis ini dijangka bakal berlaku malah diperluas ke kawasan yang berhampiran.

“Selain itu, operasi menyeluruh oleh Hamas ini bakal membuka ruang kebangkitan besar buat Palestin sekali gus pembebasan Al-Aqsa. Insya-Allah, ia tidak mustahil dengan sokongan padu daripada negara-negara majoriti Islam termasuk Malaysia,”ujarnya lagi.

Sementara itu, mengulas lanjut berkenaan beberapa negara yang menyokong secara terang-terangan entiti Zionis ini, beliau menyifatkan negara itu mula menunjukkan ‘wajah sebenar’ mereka.

“Negara atau kuasa yang menyokong Israel ini sudah menunjukkan siapa sebenarnya mereka. Golongan ini juga cuba membina naratif ‘militan’ terhadap Hamas serta Palestin melalui media untuk menzalimi pihak yang memperjuangkan hak mereka.

“Sebahagian yang menyokong Israel ini mungkin kurang maklumat dan ia mampu dibanteras dengan bantuan kita yang mengetahui realiti sebenar punca serangan balik ini terjadi. Namun, yang paling membimbangkan adalah mereka yang ‘pro-Israel’ yang seolah-olah ‘tutup sebelah mata’.

“Hamas masih dikira professional dan beretika kerana menyantuni rakyat Israel khususnya wanita mengandung serta kanak-kanak. Mereka yang ‘pro-Israel’ ini pula cuba memutar belitkan fakta terbabit dengan mencipta naratif ‘militan’,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau juga sempat berpesan agar masyarakat termasuk pengamal media agar menyahut seruan solidariti terhadap Palestin agar persengketaan serta penderitaan mereka menemui pengakhiran,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN