SETELAH tamat alam persekolahan, Azam (bukan nama sebenar) terus memohon untuk mendapatkan pekerjaan dalam sektor awam.
Rezeki ternyata menyebelahinya apabila dia diterima menjawat jawatan sebagai seorang anggota beruniform.
“Setelah tamat latihan, saya mendapat penempatan kerja di sebuah negeri di Malaysia Timur.
“Ketika di sana, saya telah berkenalan dengan seorang gadis dan kami menjalin hubungan percintaan,” katanya kepada K2.
Azam menjelaskan, hubungan mereka berdua mendapat restu keluarga gadis tersebut.
Ketika itu, gadis itu sedang mengikuti pengajian bidang penjagaan kesihatan di sebuah kolej swasta.
Baca artikel penuh di www.kosmo.com.my
SETELAH tamat alam persekolahan, Azam (bukan nama sebenar) terus memohon untuk mendapatkan pekerjaan dalam sektor awam.
Rezeki ternyata menyebelahinya apabila dia diterima menjawat jawatan sebagai seorang anggota beruniform.
“Setelah tamat latihan, saya mendapat penempatan kerja di sebuah negeri di Malaysia Timur.
“Ketika di sana, saya telah berkenalan dengan seorang gadis dan kami menjalin hubungan percintaan,” katanya yang kini berusia pertengahan 30-an kepada K2 saat mengimbas detik awal pertemuan dengan isterinya.
Azam menjelaskan, hubungan mereka berdua mendapat restu keluarga gadis tersebut. Dek tidak mahu terlepas ke tangan orang, dia memilih untuk mengikat tali pertunangan dengan gadis yang dicintainya itu.
Pada ketika itu, gadis itu sedang mengikuti pengajian di sebuah kolej swasta dalam bidang penjagaan kesihatan.
Setelah tunangnya itu tamat pengajian, mereka berdua kemudiannya melangsungkan perkahwinan.
“Saya rasa bersyukur kerana akhirnya kami dapat hidup bersama dengan satu ikatan yang sah dalam agama.
“Isteri saya pada ketika itu menjadi suri rumah sepenuh masa kerana dia tidak mendapat peluang pekerjaan setelah tamat pengajian,” jelas Azam.
Dalam tempoh empat tahun perkahwinan juga mereka berdua dikurniakan dua cahaya mata.
Selama tempoh itu, isterinya tidak bekerja dan menguruskan rumah sepenuh masa.
Kemudian, Azam ditukarkan tempat kerja dan dia membawa bersama isteri dan anak-anaknya itu berpindah ke Semenanjung Malaysia.
Setelah berpindah, isterinya menyatakan hasrat untuk bekerja dan Azam membenarkan. Isterinya kemudian diterima bekerja sebagai petugas kesihatan di sebuah hospital swasta.
Kehidupan mereka pada ketika itu cukup bahagia dan baik-baik sahaja.
Namun, rumah tangga yang dibina itu akhirnya bergolak setelah isterinya itu menyatakan hasrat untuk pergi bekerja di luar negara.
“Dengan bantuan rakannya, isteri saya meraih peluang pekerjaan di sebuah negara Arab.
“Pada mulanya saya berat hati untuk mengizinkannya pergi kerana pendapatan kami berdua sudah cukup untuk kami hidup.
“Namun, dia nekad untuk pergi dan berjanji untuk hanya beberapa tahun bekerja di sana bagi mengumpul wang dan akan kembali ke tanah air,” terang Azam.
Azam akhirnya mengalah dan dia membenarkan isterinya untuk pergi bekerja di luar negara.
Dia tidak menafikan pendapatan yang diterima isterinya bekerja di luar negara amat banyak. Dalam masa sama dia mengerti isterinya juga harus membantu keluarga di kampung.
Azam berkata, apabila hidup berjauhan pelbagai cabaran yang mereka hadapi.
“Saya dan isteri saya semakin kurang berkomunikasi kerana kesibukan tugas masing-masing. Apabila saya menghubunginya, dia menjelaskan sibuk dengan kerja dan kami tidak dapat berbual panjang,” jelasnya.
Setelah bekerja di luar negara, Isterinya ada pulang menjenguk mereka dua hingga tiga kali setahun.
Namun, setelah hampir dua tahun bertugas di luar negara, Azam mendapati isterinya itu mula berubah dan jarang berkomunikasi dengannya.Malah, isterinya juga semakin jarang untuk pulang ke tanah air.
“Dia tidak pulang untuk bertemu kami, sebaliknya saya melihat dia pergi bercuti ke beberapa negara dengan rakan-rakannya.
“Apa yang mengejutkan, ketika bercuti isteri saya yang sebelum ini bertudung telah melepaskan tudungnya dan penampilannya juga semakin berubah.
“Bukan itu sahaja, percutian mereka juga bercampur dengan lelaki-lelaki dari negara-negara lain,” terangnya.
Azam kemudian menghubungi isterinya bagi mendapatkan penjelasan.
Isterinya kemudian meminta Azam tidak mencampuri apa yang dilakukannya.
“Kami bergaduh dan saya mendapati isteri saya telah benar-benar berubah.
“Sejak kejadian itu saya telah hubunginya berkali-kali untuk berbincang tetapi dia tidak langsung menjawab panggilan saya,” terangnya.
Malah, Azam merasakan dia seperti tidak mempunyai seorang isteri lagi.
Tidak berapa lama selepas itu, isterinya menghubungi Azam dan wanita itu meminta dirinya dilepaskan.
Jelas isterinya, rasa sayangnya kepada Azam telah hilang dan ingin berpisah untuk mencari kehidupan yang lebih baik.
“Berkali-kali saya bertanya kenapa mengambil keputusan begitu, dia kata, dia gembira untuk bekerja di sana dan mungkin tidak akan pulang untuk kembali menetap bersama saya dalam waktu terdekat.
“Dia menyatakan dia tidak mahu saya terseksa kerana dia tidak dapat menunaikan tanggungjawab sebagai seorang isteri kerana hidup berjauhan,” terangnya.
Azam cuba beberapa kali memujuk isterinya itu tetapi tidak berhasil.Isterinya nekad dengan keputusannya itu dan dia pulang ke tanah air untuk memohon berpisah dengan Azam.
Akhirnya setelah berbincang dari hati ke hati mereka berdua akhirnya mengambil keputusan untuk berpisah dan sah bercerai di mahkamah syariah.
Kini setelah hampir setahun berpisah, Azam kembali membina keluarga di mana dia telah berkahwin dengan salah seorang rakan lamanya, manakala isterinya masih bekerja di luar negara dan kini sedang dilamun cinta dengan seorang lelaki asing.














