BATU PAHAT – Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh bekas isterinya, awal bulan ini.
Tertuduh, Mohd. Hanif Mohd. Ismail, 42, mengangguk faham sejurus kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Nurul’Izzati Mohamad.
Mengikut kertas pertuduhan, Mohd. Hanif didakwa membunuh bekas isterinya, Halizam Hamzah, 43, di dalam sebuah gudang kosong di Jalan Ayer Hitam – Yong Peng, pada 6 November lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Afiqah Radhiah Zainurin manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Mahkamah menetapkan 23 Disember depan sebagai sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia serta tarikh tertuduh melantik peguam.
Terdahulu, pada 9 November lalu, Kosmo! melaporkan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Azhan Abdul Halim berkata, mayat seorang wanita ditemui penduduk yang melalui kawasan perumahan itu pada pukul 8 pagi sebelum memaklumkan kejadian kepada polis.
Katanya, sepasukan polis dikejarkan ke tempat kejadian bersama Pasukan Forensik dan Unit Anjing Pengesan (K9) daripada Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor untuk membantu siasatan. – K! ONLINE
















